Selasa, Disember 28, 2010

MUS'AB BIN UMAIR R.A


Mus’ab ibn Umair r.a atau nama lengkap beliau ialah Mus’ab bin Umair bin Hasyim bin Abdu Manaf  bin Abduddaar merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah dan terhormat. Beliau. adalah sahabat Rasulullah SAW yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman.

Sebelum memeluk Islam lagi Mus’ab memang terkenal sebagai seorang yang berperwatakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis-gadis di Makkah. Mereka sentiasa bercita-cita untuk menjadi teman hidupnya.

Beliau merupakan seorang cendikiawan Makkah dan sering dijemput menghadiri mesyuarat para pemimpin Makkah yang ketika itu dihadiri oleh Abu Jahal, Abu Sufyan ibn Harb dan para bangsawan yang lain. Setelah  memeluk Islam di tangan Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a , Mus’ab r.a  kemudiannya bertukar watak menjadi zuhud dan warak.

Mus’ab ibn Umair r.a adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding anggota keluarganya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidak hairanlah apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu beliau menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya langsung tidak berkesan.

Kerana sayangkan ibunya. dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya supaya memeluk Islam. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya

Mus’ab memberitahu ibunya “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.” Dengan jawapan itu, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Bagi mengelakkan seksaan, Mus’ab telah berhijrah menuju ke Habsyah sebanyak dua kali.
Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Mendapat tahu tentang kepulangan Mus’ab, ibunya telah  mengutuskan al-Rum ( adik Mus’ab ) untuk memujuknya supaya kembali kepada menyembah berhala. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Sebaliknya, dengan izin Allah, al-Rum telah memeluk Islam tanpa pengetahuan ibunya.

Selepas Iqrar Aqabah pertama Rasul  s.a.w melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil baginda s.a.w kepada penduduk Yathrib untuk mengajar al Quran dan Islam. Di sana Mus’ab r.a  tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. Mus’ab r.a  berdakwah dengan berpegang kepada manhaj al Quran yang di ajar oleh Rasul s.a.w. Hasil usahanya beliau berjaya mengislamkan  Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. Kedua-duanya  adalah ketua puak di Yathrib yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. Oleh itu dalam beberapa bulan dia mampu menyebarkan Islam di seluruh  Yathrib.

Musim haji ke 13 selepas kerasulan, Mus’ab ibn Umair r.a kembali ke Makkah  dan memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib kepada Rasulullah  s.a.w.  bahawa Islam telah tersebar ke seluruh kawasan Aus dan Khazraj . Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru ( Iqrar Aqabah ke 2) serta mampu memberi perlindungan kepada Rasul ullah s.a.w.

Bulan Syawal Tahun 3H bersamaan bulan Mac tahun 625 M berlaku Peperangan Uhud. Mus’ab telah ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyaksikan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Namun Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya sambil menyeru: “Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus’ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai Syuhada Uhud.

Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Mus’ab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya.

Selain daripada Mus’ab bin Umair terdapat beberapa orang sahabat yang syahid di Medan Peperangan Uhud. Mereka adalah Saidina Hamzah, Talhah Bin Ubaidullah dan Hanzalah bin Abi Amir