Sabtu, Julai 30, 2011

KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ


Beliau ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam telah dilahirkan pada tahun 61H di Halwan, Mesir. Ibu beliau bernama Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab.

Umar bin Abdul Aziz dibesarkan di Madinah, dibawah bimbingan Ibnu Umar, salah seorang periwayat hadis yang terkenal . Pernah berguru dengan Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sebagai seorang yang warak dan zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal.

Merupakan Khalifah Ke 8 Bani Umaiyyah . Dilantik menjadi khalifah pada bulan Safar tahun 99H @ 717M bagi menggantikan sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715M-717M). Ketika itu beliau berumur 36 tahun.

Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum. Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad saw dan tiada kitab selepas alQuran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa disisi Allah” Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.

Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’ Isterinya juga turut mengalir air mata

Pemerintahan beliau sangat menakjubkan. Di awal pemerintahan beliau, beliau telah melantik 10 orang sebagai penasihat peribadi beliau .Pada waktu inilah dikatakan tiada siapa pun umat Islam yang layak menerima zakat sehingga harta zakat yang menggunung itu terpaksa diiklankan kepada sesiapa yang tiada pembiayaan untuk bernikah dan juga hal-hal lain. Atas dasar inilah Imam As-Syafie telah menggelar Umar bin Abdul Aziz sebagai Khalifah Ar Rasyidin yang ke lima .

Setelah mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara antaranya ialah

:1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran

2) Merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal

3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah

4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu.

5) Melarang segala bentuk jamuan negara dengan menggunakan harta kerajaan serta mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin

6) Menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya Untuk ini Khalifah umar telah memerintahkan rakyatnya mendirikan solat secara berjamaah dan menjadikan masjid-masjid sebagai tempat untuk mempelajari hukum Allah

8) Menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Beliau juga telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam.

Kesederhanaan Umar bin Abdul Aziz
Khalifah Abu Ja’far bin Mansur pernah bertanya mengenai wang simpanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Anak Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjawab “sebelum beliau menjadi khalifah wang simpanannya berjumlah 40 ribu dinar (wang emas) Adapun ketika beliau wafat wang simpanannya hanyalah 4 ratus dinar sahaja dan ianya pasti akan berkurangan sekiranya dia panjang umur lagi

Suatu hari Umar bin Abdul Aziz meminta kepada isterinya duit untuk membeli anggur maka isterinya menjawab “Tidak ada.” Fatimah mengadap suaminya , seraya berkata “Engkau adalah amirul mukminin tetapi tidak ada duit langsung untuk membeli anggur.” Umar menjawab:“Perkara ini lebih mudah untuk kita hadapi daripada menghadapi belenggu di neraka jahannam pada hari kiamat kelak.”

Kewafatan Khalifah Umar bin Abdul Aziz


Pada tahun 101H beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan (852 hari ) dan dikebumikan di Syria. Umar bin Abdul Aziz mati kerana diracun oleh sebilangan pemimpin Bani Umawiyyah yang tidak berpuas hati dengan beliau yang banyak menyekat kemewahan mereka. 


Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat.

Rabu, April 13, 2011

ISLAM BUKAN PADA NAMA



Semasa mula-mula datang, saya menganggap empuna nama seperti Isa, Musa, Kamal, Yaakob dan sebagainya sudah semestinya beragama islam. Namun begitu sangkaan saya ini meleset begitu sekali dan sama-sama kita kongsikan kisah ini.

Hakikatnya penggunaan nama tesebut  amat popular sekali digunakan oleh orang orang Kristian di negara arab.






Ketika belajar di University Of Jordan, saya sempat mengikuti rombongan "Markaz Lughoh" -Pusat Pengajian Bahasa Arab ke satu destinasi pelancongan yang terkemuka di Jordan. Tiba waktu solat macam biasalah- masing masing tahu akan kewajipan masing-masing.




Dalam ramai ramai tu , ada seorang pemuda yang bernama Kamal Yaakob Kamal tidak ikut solat bersama kami. Saya rasa pelik dan cuba bertanya kepadanya . Dalam jawapannya dia mengatakan bahawa dia adalah seorang penganut agama kristian.

Saya tidak puas hati dan menganggapkan itu sebagai satu alasan untuk dia tidak mendirikan sembahyang. Keesokan harinya saya tanya kepada kawan-kawan yang mengenalinya dan kebanyakan mereka mengakui bahawa pemuda itu adalah beragama kristian.





Pada mereka..
  1. Mereka adalah berketurunan arab dan nama nama tersebut merupakan nama nama arab.  
  2. nama nama tersebut juga merupakan nama nama nabi - nabi yang pernah datang kepada mereka. 
Jadinya tidak salahlah jika mereka menggunakan nama-nama ini kerana mereka adalah seorang arab yang pernah didatangi nabi-nabi ini.



Begitu juga dengan nama nama bagi kaum hawa seperti Mariyam dan Sarah turut popular di kalangan wanita arab beragama kristian.
>