Jumaat, September 15, 2017

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH


Sultan Muhammad ll atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmet ll) dilahirkan pada 27 Rejab 835 H/30 Mac 1432 M di Kota Erdine. Baginda adalah putera kepada Sultan Murad II yang memerintah dari tahun 1421M hingga tahun 1451M.

Semasa kecil, Sultan Muhammad ll telah berjaya menghafal 30 juz AlQuran dan mempelajari ilmu matematik selain daripada ilmu hadis, feqah dan falak.

Baginda juga telah mempelajari pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Latin dan Yunani serta strategi dalam peperangan.

Sultan Muhammad II telah diberi tanggung jawab memimpin satu daerah dengan bimbingan ulamak terkemuka seperti Syeikh Samsettin ( Syamsuddin ) dan Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani.


Masjid Sultan Muhammad alFatih

Baginda telah ditabal menjadi Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada 5 Muharam 855H bersamaan dengan 7 Febuari 1451M.

Meneruskan usaha menawan Constantinople adalah ajenda utama pemerintahan Baginda .

Untuk mencapai cita citanya ini, Sultan Muhamad ll mengadakan perjanjian dengan negara - negara jiran yang bermusuhan dengan Byzantine.

Selain dari itu, Sultan Muhammad II mengerahkan 250 ribu bala tenteranya mengepung kota ini dari arah darat, bukit dan Laut. Kota ini berjaya ditawan pada 20 Jamadil Awal 853H bersamaan 29 Mei 1453M.


    Kota Rumeli Hisari    

 JASA DAN KEWAFATAN SULTAN MUHAMMAD AL FATIH  

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad ll, Baginda telah membina
  1. Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di Selat Bosphorus bagi mengawal lalu lintas di selat tersebut.
  2. Masjid Sultan Muhammad II  
  3. Jami’ Abu Ayyub al-Ansari.
  4. lebih dari 300 buah masjid dan 57 buah sekolah

Beliau juga berjaya menyatukan kerajaan - kerajaan Anatolia dan wilayah - wilayah Eropah.

    Jami’ Abu Ayyub al-Ansari     

Sultan Muhammad al-Fatih wafat pada hari Khamis, 04 Rabiul Awal 886H bersamaan 03hb Mei 1481M setelah memerintah selama 31 tahun.

Tampuk pemerintahan Uthmaniyyah seterusnya telah diserahkan kepada puteranya Sultan Bayazid II ( 1481M - 1512M ).



Ahad, Ogos 13, 2017

UMMU SULAIM - SRI KANDI YANG HEBAT


Beliau adalah Rumaiso' binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Hiram bin Jundab bin 'Amir bin Ghanam bin Adie bin an-Najaar al-Ansariyah al-Khazrajiyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Sulaim رضی الله عنها

Ummu Sulaim merupakan seorang Sahabiyyah dari kabilah Ansar suku Khazraj yang memiliki wajah yang cantik, otak yang cerdas serta berakhlak mulia.

Ummu Sulaim r.a dilamar oleh Malik Ibnu Nadhar dan hasil dari pernikahan ini lahirlah seorang anak bernama Anas رضی الله عنه

 UMMU SULAIM MASUK ISALAM 

Tanpa ragu ragu, Ummu Sulaim telah menyahut seruan dakwah Rasulullah namun keislamannya ditentang keras oleh Malik bin Nadhar.

Malik bin Nadhar bertindak meninggalkan Ummu Sulaim dan anaknya setelah ia gagal mengubah akidah Ummu Sulaim yang kental bersama agama tauhid namun beliau telah mati dibunuh oleh musuhnya.

BERKAHWIN DENGAN ABU TALHAH 

Setelah kematian Malik bin Nadhar (ayah kepada Anas r.a.), Ummu Sulaim r.a telah dilamar oleh Ziyad bin Sahl an Najjari (Abu Talhah) seorang pemuda kaya lagi dihormati.

Oleh kerana Abu Talhah ketika itu masih belum masuk Islam maka Ummu Sulaim berkata kepada Abu Talhah....

Wahai Abu Talhah, orang sepertimu tidak semestinya lamarannya ditolak. Akan tetapi engkau masih kafir, sedangkan aku wanita muslimah. Aku tidak boleh berkahwin denganmu.

Ummu Sulaim menjelaskan bahawa bukan emas dan perak yang dia inginkan, akan tetapi dia inginkan keIslaman Abu Talhah.

Sekiranya engkau masuk Islam, maka itulah maharku dan Aku tidak  meminta kepadamu selain itu.

Akhirnya Abu Talhah akur dan bersetuju dengan syarat syarat tersebut.

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah, Abu Talhah segera mendapatkan Rasulullah. Tatkala melihat kedatangan Abu Talhah, Nabi bersabda,

Cahaya Islam terlihat di antara kedua mata Abu Talhah.”

Abu Talhah dan Ummu Sulaim diijab kabulkan oleh Rasulullah dan mereka telah dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abu Umair. Abu Talhah amat menyayanginya.

gambar hiasan


Pada suatu hari Abu Umair sakit kuat dan meninggal dunia. Di hari kematian Abu Umair, Abu Talhah keluar bermusafir. Ummu Sulaim yang menguruskan sendiri jenazah anaknya lalu berpesan kepada keluarganya..

Jangan ada seorangpun yang memberitahu kematian anak ini kepada Abu Talhah sehinggalah aku sendiri yang memberitahunya.


Abu Talhah pulang lalu bertanya hal keadaan puteranya. Ummu Sulaim memberitahu bahawa anaknya sedang istirehat dengan tenang sekali.

Pada malam itu Abu Talhah telah mendatangi isterinya. Menjelang subuh, Ummu Sulaim bertanya kepada Abu Talhah...

Apakah pendapatmu jika ada suatu kaum meminjamkan barang kepada kaum yang lain, lalu mereka meminta kembali barang pinjaman tersebut. Apakah kaum yang dipinjami berhak untuk tidak mengembalikan barang itu?

“Tidak,” jawab Abu Talhah maka Ummuu Sulaim pun berkata

Sesungguhnya Allah telah meminjamkanmu anak, kemudian Dia mengambilnya kembali. Oleh itu, bersabarlah dan harapkanlah pahala dari Allah.

Abu Talhah amat marah dan terus mendapatkan Rasulullah pada keesokan harinya.

Rasulullahpun berdoa

Semoga Allah memberkahi kalian berdua pada malam kalian.

Berkat dari doa ini, Ummu Sulaim hamil lagi dan selamat melahirkan seorang putera yang Rasulullah saw berikannya nama Abdullah.

Disebalik kelembutan seorang wanita, Ummu Sulaim turut garang dalam medan peperangan.

Dalam perang Hunain, dengan hanya bersenjatakan sebilah pisau, Ummu Sulaim memberitahu Rasulullah bahawa pisau ini akan merobek perut perut orang musyrik yang menghampirinya.

Demikianlah, Ummu Sulaim yang telah berjasa terhadap Islam dan kaum muslimin dalam menegakkan agama Allah di muka bumi.