Friday, September 15, 2017

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH


Sultan Muhammad ll atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmet ll) dilahirkan pada 27 Rejab 835 H/30 Mac 1432 M di Kota Erdine. Baginda adalah putera kepada Sultan Murad II yang memerintah dari tahun 1421M hingga tahun 1451M.

Semasa kecil, Sultan Muhammad ll telah berjaya menghafal 30 juz AlQuran dan mempelajari ilmu matematik selain daripada ilmu hadis, feqah dan falak.

Baginda juga telah mempelajari pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Latin dan Yunani serta strategi dalam peperangan.

Sultan Muhammad II telah diberi tanggung jawab memimpin satu daerah dengan bimbingan ulamak terkemuka seperti Syeikh Samsettin ( Syamsuddin ) dan Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani.


Masjid Sultan Muhammad alFatih

Baginda telah ditabal menjadi Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada 5 Muharam 855H bersamaan dengan 7 Febuari 1451M.

Meneruskan usaha menawan Constantinople adalah ajenda utama pemerintahan Baginda .

Untuk mencapai cita citanya ini, Sultan Muhamad ll mengadakan perjanjian dengan negara - negara jiran yang bermusuhan dengan Byzantine.

Selain dari itu, Sultan Muhammad II mengerahkan 250 ribu bala tenteranya mengepung kota ini dari arah darat, bukit dan Laut. Kota ini berjaya ditawan pada 20 Jamadil Awal 853H bersamaan 29 Mei 1453M.


Masjid Sultan Muhammad alFatih


 JASA DAN KEWAFATAN SULTAN MUHAMMAD AL FATIH  

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad ll, Baginda telah membina
  1. lebih dari 300 buah masjid dan 57 buah sekolah.
  2. Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di Selat Bosphorus bagi mengawal lalu lintas di selat tersebut.
  3. Masjid Sultan Muhammad II dan 
  4. Jami’  Abu Ayyub al-Ansari.

Beliau juga berjaya menyatukan kerajaan - kerajaan Anatolia dan wilayah - wilayah Eropah.


  Kota Rumeli Hisari 


Sultan Muhammad al-Fatih wafat pada hari Khamis, 04 Rabiul Awal 886H bersamaan 03hb Mei 1481M setelah memerintah selama 31 tahun.

Tampuk pemerintahan Uthmaniyyah seterusnya telah diserahkan kepada puteranya Sultan Bayazid II ( 1481M - 1512M ).

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

 BLOG : 
www.annajahcemerlang.blogspot.com

Sunday, August 13, 2017

UMMU SULAIM - SRI KANDI YANG HEBAT


Rumaisho' binti Milhan atau lebih dikenali sebagai Ummu Sulaim ra adalah seorang sahabat wanita dari kalangan kaum Ansar.

Beliau juga merupakan ibu kandung kepada Anas ibn Malik al-Ansari ra. pembantu Rasulullah saw

Setelah kematian Malik ( ayah kepada Anas r.a. ), Ummu Sulaim telah dilamar oleh Ziyad bin Sahl an Najjari ( Abu Talhah ) seorang pemuda kaya lagi dihormati.

Ummu Sulaim berkata kepada Abu Talhah,

“Wahai Abu Talhah, orang sepertimu tidak semestinya lamarannya ditolak. Akan tetapi engkau masih kafir, sedangkan aku wanita muslimah. Aku tidak boleh berkahwin denganmu.”

Ummu Sulaim menjelaskan bahawa bukan emas dan perak yang dia inginkan, akan tetapi dia inginkan adalah keIslaman Abu Talhah.

"Sekiranya engkau masuk Islam, maka itulah maharku dan Aku tidak  meminta kepadamu selain itu.”

Abu Talhah bersetuju dengan syarat  Ummu Sulaim lalu dia pun mengucap dua kalimah syahadah.

Selepas itu, Abu Talhah segera mendapatkan Rasulullah. Tatkala melihat kedatangan Abu Talhah, Nabi bersabda, “Cahaya Islam terlihat di antara kedua mata Abu Talhah.”

Abu Talhah dan Ummu Sulaim diijab kabulkan oleh Rasulullah dan mereka telah dikurniakan seorang putera yang dberi nama Abu Umair. Abu Talhah amat menyayanginya. .

gambar hiasan

Pada suatu hari Abu Umair sakit kuat dan meninggal dunia. Di hari kematian Abu Umair, Abu Talhah keluar bermusafir. Ummu Sulaim yang menguruskan sendiri jenazah anaknya  lalu berpesan kepada keluarganya..

“Jangan ada seorangpun yang memberitahu kematian anak ini kepada Abu Talhah sehinggalah aku sendiri yang memberitahunya.”

Abu Talhah pulang lalu bertanya hal keadaan puteranya. Ummu Sulaim memberitahu bahawa anaknya sedang istirehat dengan tenang sekali.

Ummu Sulaim mempersiapkan makan malam dan menghidangkannya. Malam itu Abu Talhah mendatangi isterinya.

Menjelang subuh, Ummu Sulaim bertanya kepada Abu Talhah...

“ Apakah pendapatmu jika ada suatu kaum meminjamkan barang kepada kaum yang lain, lalu mereka meminta kembali barang pinjaman tersebut. Apakah kaum yang dipinjami berhak untuk tidak mengembalikan barang itu?”

“Tidak,” jawab Abu Talhah maka Ummuu Sulaim pun berkata

“Sesungguhnya Allah telah  meminjamkanmu anak, kemudian Dia mengambilnya kembali. Oleh itu, bersabarlah dan harapkanlah pahala dari Allah,”

Abu Talhah agak marah dan mendapatkan Rasulullah pada keesokan harinya.

Rasulullahpun berdoa, “Semoga Allah memberkahi kalian berdua pada malam kalian .” Berkat dari doa ini, Ummu Sulaim hamil lagi dan selamat melahirkan seorang putera yang Rasulullah saw berikannya nama Abdullah.

Disebalik kembutan seorang wanita, Ummu Sulaim turut garang dalam medan peperangan.

Dalam perang Hunain, dengan bersenjatakan sebilah pisau, Ummu Sulaim memberitahu Rasulullah bahawa pisau ini akan merobek perut perut orang musyrik yang menghampirinya.

Demikianlah, Ummu Sulaim yang telah berjasa terhadap Islam dan kaum muslimin dalam menegakkan agama Allah di muka bumi.

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

www.annajahcemerlang.blogspot.com

Thursday, January 28, 2016

MUSIM SEJUK DI JORDAN



Jika di Malaysia, dalam setahun hanya ada dua musim sahaja iaitu Musim Panas dan Musim Hujan. Tapi berlainan keadaannya di Jordan.

Di Jordan  terdapat empat musim dalam setahun iaitu



BAGAIMANAKAH MUSIM SEJUK BOLEH BERLAKU

Kejadian  empat musim banyak dipengaruhi dengan   pergerakan matahari. Apabila matahari berada di kutub Selatan, maka negara negara yang berada di kutub Utara akan menerima sedikit pengaruh matahari . Ini menjadikan suasana dingin dan beku  ( salji ) di kawasan kawasan tersebut.


Negara negara bersalji


MUSIM SEJUK - PRO  DAN KONTRA

Musim sejuk merupakan musim longgokan buah buahan seperti Strawbery dan aneka jenis limau.
Ianya dijual dengan harga yang cukup murah.

Limau jenis Abu Surrah ( Lomau Sunkist ) menjadi kegemaran penulis kerana rasanya manis, segar dan baru dipetik dari ladang.




Selain daripada itu, daging, ayam dan ikan tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Suasana sejuk di luar sudah cukup menggantikan peti ais.

Penggunaan air pada musim sejuk adalah sangat kurang. Apa tidaknya, sedangkan nak ambil wudhu'pun telinga bagaikan nak tercabut inikan pula nak mandi... Oh tidaaaak.

Masjid University Of Jordan, Amman, Jordan


Sungguhpun demikian bil api akan melambung tinggi gara gara penggunaan heater untuk memanaskan rumah. Bahan api yang lain seperti gas dan minyak turut digunakan sebagai alternatif lain memanaskan rumah.menggantikan tenaga elektrik.  


SIANG LEBIH PENDEK DARI MALAM

Oleh kerana kedudukannya jauh dari matahari pada musim sejuk maka Jordan menerima sedikit pengaruh siang berbanding waktu malam. 

Jika waktu Maghrib di Malaysia masuk pada jam 7.00 malam tetapi di Jordan waktu Maghrib  masuk pada jam 4.30 petang



Penulis pernah berpuasa  di Jordan pada Musim Sejuk semasa belajar di sana dari tahun 1992 hingga  1997.  Jam 4.30 petang dah berbuka manakala jam 6.00 petang dah siap solat Isyak dan Tarawikh sekali


Sekarang barulah penulis faham kenapa Rasulullah s.a.w mengiyaratkan  masuk waktu solat berdasarkan kepada pergerakan matahari. Wujudnya taqwim solat ini adalah hasil dari pemerhatian setiap hari selama satu tahun.   


Pernah terjadi kepada seorang sahabat Penulis yang transit sebentar di Bandaraya Amman, Jordan.. Penulis sempat mengunjungi beliau di Hotel Airport  tempat beliau menginap .

Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Beliau telah minta izin untuk Solat ( Zohor ) dulu  sedangkan ketka itu  telahpun masuk waktu Asar.  

KESIMPULAN 

kita tak boleh sebarangan nak bawa waktu solat Malaysia ke Jordan terutama sekali pada masa musim Sejuk.


Masjid Al Aqsa  ( Sila klik gambar ) di Palestine turut dilitupi salji


PENUTUP



Sesunggunya kejadian Musim Sejuk, Musim Panas dan sebagainya merupakan Tanda tanda Kebesaran Allah  kepada hambaNya. Allah berkuasa menjadikan suatu tempat itu sejuk beku, banjir, panas berbahang, kemarau dan kering kontang.

Allah tidak ciptakan semua ini sia sia melainkan supaya kita BERSYUKUR, BERIMAN  dan 


TUNDUK SUJUD  kepadaNya


Amman this morning Video by Amjad Ghsoun
Posted by Jordan Times on 26hb Januari 2016

Monday, November 9, 2015

ABU AYYUB AL ANSORI


Abu Ayyub al-Ansari r.a (587M - 668M) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib dari kaum Ansorb Bani An-Najjar.

Beliau antara sahabat Nabi yang dikurniakan keberkatam umur yang panjang selain daripada Anas bin Malik r.a.

Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta yang dinaiki Baginda di rumah beliau  semasa baginda berhijrah dari Mekah  ke Madinah .
Pada mulanya, Rasulullah SAW berhenti di Quba yang terletak dekat pinggir kota Madinah dan tinggal di sana selama beberapa hari. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membina sebuah masjid sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an

PENGHIJRAHAN RASULULLAH S.A.W KE MADINAH

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. Para pemimpin Madinah dari kalangan orang-orang Ansar berdiri di sepanjang jalan, setiap orang berharap untuk mendapatkan penghormatan dari Nabi SAW agar baginda ingin singgah dan bermalam di rumahnya

Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: " Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan " .
Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a.

Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub r.a terdiri daripada dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dan semua milik keluarganya supaya Nabi SAW boleh tinggal di situ. Namun Nabi SAW lebih suka tinggal di tingkat bawah. supaya baginda boleh berjumpa para sahabat di mana mereka dapat masuk dan keluar dengan mudah

Malam pun sampai dan Nabi SAW berehat. Tetapi apabila mereka telah menutup pintu, Abu Ayyub menoleh ke arah isterinya lalu berkata:

Celakalah kita! Apa yang telah kita lakukan? Rasulullah SAW berada di bawah dan kita ada di atasnya! Adakah kita berjalan di atas Rasulullah SAW! Adakah kita menghalang wahyu?! Jika benar, maka binasalah kita!”

Pasangan suami isteri itu menjadi bertambah bimbang dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka hanya dapat sedikit akal bila mereka bergerak ke tepi rumah supaya tidak betul-betul berada di atas Nabi. Mereka juga berhati-hati supaya berjalan di tepi-tepi sudut lantai dan tidak di tengah-tengahnya.

Keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat tidur pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi. Pada keesokan paginya, Abu Ayyub menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Demi Allah, kami tidak dapat melelapkan mata sedikit pun malam tadi, begitu juga dengan Ummu Ayyub.”

Pada masa itu juga muka baginda kelihatan ceria, lantas baginda berkata: “Janganlah kamu menyusahkan diri kamu, wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa kami.”

Pada suatu malam yang sangat sejuk, kendi Abu Ayyub pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di tingkat atas. Oleh kerana bimbangkan Rasulullah s.a.w yang tidur di tingkat bawah maka Abu Ayyub dan isterinya terus bergegas ke tempat air yang tumpah lalu mengelapnya dengan menggunakan sehelai kain baldu yang dijadikan sebagai selimut.

Pada keesokan pagi Abu Ayyub berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, dan menceritakan apa yang berlaku. Sejak dari peristiwa itu maka baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas, manakala Abu Ayyub pula turun ke tingkat bawah.

Rasulullah s.a.w menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sementara menunggu Masjid dan rumah baginda siap dibina. Abu Ayyub amat mengasihi Rasulullah SAW begitu juga Rasulullah amat mencintai Abu Ayyub. Mereka begitu akrab sehingga Rasulullah SAW sentiasa menganggap rumah Abu Ayyub sebagai rumahnya sendiri.

KEPERIBADIAN ABU AYYUB AL ANSORI

Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada Rasulullah s.a.w, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar dan Saidina Umar Radiallahu anhuma telah menuju ke masjid di waktu matahari panas terik mencari makanan. Maha suci Allah telah mempertemukan mereka dengan Rasulullah SAW. Mereka mengatakan kepada Rasulullah bahawa mereka kelaparan dan berusaha mencari sesuatu untuk dimakan,

Lalu Rasulullah SAW membawa Abu Bakar dan Umar menuju ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sebagai wanita Mukminah yang terdidik dengan didikan iman kepada Allah dan hari akhirat, isteri Abu Ayyub membuka pintu lantas menyambut mereka dengan katanya “ Selamat datang Rasulullah dan siapa saja yang bersamanya ”.

“ Di mana Abu Ayyub? “ Rasulullah SAW bertanya seolah-olah seperti saudara rapat yang amat memahami satu sama lain. Abu Ayyub sedang bekerja di kebun tamar berhampiran. Mendengarkan suara Rasulullah Abu Ayyub bergegas mendapatkan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya dan mengalu-alukan kedatangan Rasulullah dengan ucapan penuh kemesraan dan kerelaan hati .

Kemudian Abu Ayyub keluar menuju ke kebun tamarnya lalu memotong serumpun tamar yang bercampur antara tamar yang masak dan separa masak. Rasulullah SAW menegurnya “ Aku tidak mahu kamu mengambil yang ini, tidakkah kamu hanya mengambil yang masak sahaja? ( Rasulullah tidak mahu Abu Ayyub mengambil semuanya hingga yang separa masak- ( Dalam hadis lain menunjukkan Rasulullah sebenarnya gemar memakan tamar yang separa masak ).



Abu Ayyub berkata, “ Ya Rasulullah, makanlah dari kedua-duanya yang masak dan yang separa masak. Aku akan menyembelih seekor ternakanku untuk mu juga ” Rasulullah SAW menyebut “ jika engkau akan menyembelih, jangan menyembelih ternakan yang sedang mengeluarkan susu ”. Abu Ayyub akhirnya menyembelih seekor kambingnya yang muda, memasak separuh darinya dan memanggang separuh yang lain.

Apabila makanan telah dihidangkan di hadapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya, Rasulullah SAW mengambil sepotong daging dan meletakkannya di dalam roti lalu berkata kepada Abu Ayyub ” bawalah ini kepada Fatimah, dia telah beberapa hari tidak merasakan makanan sebegini ”.

Setelah makan dan merasa puas, Rasulullah SAW lantas bersabda “ Roti, daging, busr dan Rutab...! ” lantas baginda menangis hingga mengalir air mata nya. Rasulullah menyebut “ ini ialah rahmat dari Allah yang akan ditanya ke atas kamu di hari akhirat nanti.

KEPAHLAWANAN ABU AYYUB AL ANSORI

Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam, semuanya beliau sertai kecuali berlakunya beberapa peperangan dalam satu masa.

Kempen peperangan terakhir Abu Ayyub ialah di zaman Muawiyyah dalam peperangan ke atas Constantunople. Abu Ayyub ketika itu berumur sekitar 80 tahun. Sesungguhnya ketuaan yang sebegitu tidak menghalang Abu Ayyub dari menyertai pasukan tentera menyeberangi lautan di jalan Allah SWT. Walau bagaimanapun selepas masa yang singkat, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa dibawa keluar dari medan peperangan.

Yazid bin Muawiyyah sebagai panglima perang datang kepadanya lalu bertanya; “ Adakah engkau memerlukan apa-apa wahai Abu Ayyub? ”. Abu Ayyub, di ketika detik-detik terakhir kehidupannya di medan juang meninggalkan pesan yang menjadi i’brah ( pengajaran ) kepada setiap Mujahidin selepas daripadanya.

Dia menjawab; “ Sampaikan salamku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka, Abu Ayyub menggesa kamu untuk menyerang jauh ke dalam perbatasan musuh semampu kamu. Kamu mesti membawanya ( Abu Ayyub ) bersama dan kamu mengebumikannya di bawah kaki-kaki kamu di tepi dinding kubu Constantinople !!”.

KEWAFATAN ABU AYYUB AL ABSORI

Abu Ayyub akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir di medan peperangan dengan penuh kemuliaan seorang pahlawan yang terbilang dan Mujahidin fisabililLah.
Rasulullah s.a.w pernah mengisyaratkan Abu Ayyub sebagai "Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikebumikan di bawah kubu kota Constantinople"



Tentera Muslimin telah memenuhi kehendaknya. Mereka menyerang pasukan musuh dalam serangan demi serangan hingga mereka sampai ke dinding kota Konstentinopel. Di situlah Abu Ayyub telah dikebumikan.

  PENEMUAN MAKAM ABU AYYUB AL ANSORI   

Kekentalan pasukan pertahanan Tentera Byzantium akhirnya berjaya ditundukkan. Pada hari Selasa 29 Mac 1453 Sultan Muhammad Al Fatih berjaya menawan kota ini setelah kota ini dikepung dan dibedil selama 53 hari. Sultan Muhammad Al Fatih telah menukar nama Constantinoplr kepada Istambol dan kini dikenali sebagai Istanbul.


Cerita mengenai makam Abu Ayyub Al Ansori di luar tembok kota Constantinople telah mendapat perhatian Sultan Muhammad Al Fatih. Beliau telah mendapatkan pandangan dari gurunya iaitu Sheikh Agha Shamsuddin yang juga memiliki karomah dan keberkatan doa.

Setelah bertawajjuh kepada Allah ditempat yang dimaksudkan, Sheik Agha Shamsuddin mengisyaratkan kepada Sultan Muhammad Al Fatih agar menggali sepanjang dua hasta dari arah kepala nescaya  akan timbullah sebatang batu nesan yang ditulis dalam bahasa Inrani.

Tentera Sultan Muhammad Al Fatih bergegas menggali tempat yang ditunjukkan oleh Sheikh Agha Shamsuddin. Beberapa minit kemudian nampak batu nesan dalam tulisan Ibrani.

Sultan Muhammad Al Fatih mengarahkan agar dibina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Abu Ayyub Al Ansori di kawasan ini.





Sunday, January 4, 2015

SALAHUDDIN AL AYUBI


Salahuddin Al Ayubi atau nama sebenarnya Slahuddin Yusuf bin Najm ad Din Al Ayyub ( 1137 - 1193 ) merupakan pengasas kepada Dinasti Ayubiah ( Ayyubid )  bangsa Kurdish di Mesir dan Syria. Masyarakat barat pula memanggil beliau sebagai Saladin.

Beliau juga dikenali di kalangan masyarakat Kristian dan Islam sebagai seorang ketua yang mempunyai sifat belas kasihan di samping  kebolehan dan ketangkasannya dalam peperangan .

Salahuddin dilahirkan dalam keluarga Kurdish di Tikrit. Ayahnya Najm ad Din , seorang Gabenor Wilayah Baalbek telah menghantar belau ke Damsyik untuk menuntut ilmu. Di sana Salahuddin tinggal di kawasan istana milik Nurddin ( Febuari 1118 - 15 Mei 1174 ).  selama sepuluh tahun.

Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya , Syirkuh yang ketika itu merupakan panglima perang kepada Nuruddin.  Stirkuh sering mewakili Nuruddin dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah yang disokong oleh Kaum Frank  di Mesir sekitar tahun 1160.


Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah dari bapa saudaranya yang terbunuh dalam pertempuran . Salahuddin telah dilantik menjadi panglima perang Kerajaan Fatimiyyah pada 1169 setelah berjaya menamatkan pengaruh Kaum Frank dalam pentadbiran Kerajaan Fatimiyyah.

Ketika inilah Salahuddin mengambil tugas sukar mempertahankan Mesir dari serangan Tentera Salib di bawah Kerajaan Latin Baitul Muqaddis pimpinan Almaric I.

Di bawah Kerajaan Fatimiyyah pimpinan Khalifah Al Aidid ( 1160 - 1171 ) . kemampuan Salahuddin  diragui pada peringkat awal perlantikannya sebagai panglima.  Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin  tiada kuasa ke atas askar askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah.


Apabila Khalifah Al Aidid meninggal dunia pada September 1171, Salahuddin telah menamatkan Dinasti Fatimiyyah dan menyerahkan pemerintahan Kerajaan Fatimiyyah kepada  Khalifah Al Mustadi ( 1170 - 1180 ) pemerintah Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad.

Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir sebagai wakil kepada Nuruddin, Salahudin telah melakukan pelbagai perubahan terhadap ekonomi Mesir dan menyusun semula angkatan tentera Mesir. Beliau juga turut mengembalikan ajaran ahli Sunnah wal Jamaah di Mesir.

SERANGAN KE ATAS  TENTERA SALIB

Pada tahun 1171 dan 1173 terdapat sedikit selisih faham antara Nuruddin dengan Salahuddin yang hampir membawa kepada peperangan. Ketika ingin meneruskan kempen ketenteraan ke atas negara Salib,  Nuruddin telah munta bantuan Salahuddin agar mengirimkan pasukan tentera Mesir, Menyedari akan bahaya jika Mesir ditinggalkan maka Salahuddin membatalkan niatnya menyertai Nuruddin .

Nuruddin murka lalu mengirimkan Tentera Syria untuk menerang Salahuddin di Mesir.  Namun atas nasihat Najmuddin ( ayah Salahuddin ),  sengketa ini dapat ditamatkan setelah Salahuddin memohon maaf kepada Nuruddin.


Nuruddin wafat pada 15 Mei 1174. Salahauddin mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir dan Syria menggantikan  Nuruddin. Bermula dari tarikh ini maka berakhirlah Dinasti Zengi  dan lahirlah sebuah kerajaan baru yang dikenali sebagai Dinasti Ayubiah.

 Bagi mengukuhkan lagi kedudukannya, Salahuddin telah  mengahwini permaisuri Nuruddin.  Dengan menggunakan pengaruhnya, Salahuddin berjaya menguasai Bandar Aleppo dan Mosul ( yang sebelum ini merupakan kubu kuat Nuruddin )  pada tahun 1176 dan 1186 . As Salih Ismail putera kepada Nuruddin yang melakukan  pemberontakan terhadap Salahuddin telah berjaya dibunuh pada 1181.

November 1177, telah berlaku Pertempuran Montgisard yang menyaksikan kekalahan Salahuddin kepada gabungan tentera Baldwin IV dari Jerusalem, Raynald dari Chalitton dan Raymond III dari Kesatria Templar. Dua tahun kemudian ( 1179 ) telah menyerang salah satu kubu kuat Tentera Salib dan berjaya menumpaskan mereka.

Susulan dari kekalahan ini, Tentera Salib telah bertindak balas. Raynald dari Chatillon telah telah mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam. Beliau juga mengancam ingin menyerang kota Mekah dan Madinah.

Sebagai tindak balas, Salahuddin telah menyerang  Kerak ( Selatan Jordan ) sebuah kubu kuat Reynald pada tahun 1183 dan 1184.  Reynald kemudian  menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji pada tahun 1185.


Pada 4 Julai 1187, telah berlaku Pertempuran Hattin antara tentera Islam pimpinan Salahuddin Al Ayubi menentang Gabungan Tentera Salib dibawah pimpinan Raja Guy dari Lusigman ( raja Kerajaan Jerusalem yang menggantikan Raja Baldwin IV ), Raynald dari Chatillon dan Raymond III dari Tripoli ( Kesatria Templar ).

Pertempuran Hattin telah menyaksikan kekalahan teruk Tentera Salib. Raja Guy dan Raynald telah ditangkap. Oleh kerana dosanya menyerang dan membunuh  umat islam maka Raynald telah dihukum pancung adapun Raja Guy telah dipenjarakan selama satu tahun.

Dengan kejayaan ini maka hampir keseluruhan kota kota yang dikuasai oleh Tentera Salib telah jatuh ke tangan Tentera Islam. Pada 2 Oktober 1187, Salahuddin telah berjaya menawan semula kota Baitul Muqaddis  setelah 88 tahun berada dalam kekuasaan Tentera Salib.

Kejatuhan Baitu Muqaddis telah mencetuskan Perang Salib Ketiga (1189 - 1192 ). Peperangan ini merupakan usaha raja raja Eropah untuk mendapatkan semula Baitul Muqaddis yang merupakan Tanah Suci bagi penganut Kristian.

Tentera Salib di bawah pimpinan  Raja Richard I dari Englan  ( Richard Si hati Singa / Richard Lionheart )  telah bertempur dengan Tentera Salahuddin dalam Peperangan Arsuf pada September 1171 dan berjaya merampas Acre  dari tangan Tentera Islam..



Pada September 1192, Richard I dan Salahuddin telah memuktamadkan satu perjanjian damai   iaitu ( Perjanjian Ramila )  yang menyaksikan Baitul Muqaddis kekal dibawah penguasaan Tentera Islan dan penganut Kristian yang tidak bersenjata dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis.

PENUTUP

Sungguhpun ditentang hebat, masyarakat Kristian Eropah tetap mengakui Salahuddin seorang panglima perang yang hebat dan berjaya. Disebalik peristiwa penyembelihan umat Islam pada 1099  ( Perang Salib Pertama ), Salahuddin tetap memberikan jaminan keselamatan perjalanan dan nyawa kepada  semua masyarakat Kristian dan Tentera Salib yang kalah.

Perbezaan agama tidak menjadi halangan untuk Ru-ichard Si Hati Singa dan golongan bangsawan lain untuk menghormati Salahuddin malah selepas Perjanjian Ramila Richard dan Salahuddin bertukar tukar hadiah sebagai tanda persahabatan dan saling hormat antara satu sama lain.

KEWAFATAN SALAHUDDIN AL AYUBI

Salahuddin telah wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik iaitu tidak lama selepas pemergian Richard yang pulang ke England. Ketika membuka peti simpanan Salahuddin, mereka dapati Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas. Salahuddin telah membelanjakan kesemua hartanya kepada rakyat rakyatnya yang  miskin.



Salahuddin dokebumikan di sebuah makam yang terletak di taman sebelah luar  Masjid Umawi, Damsyik, Syria. Adapun makam batu marmar ( yang disumbangkan oleh Raja Wilhem II dari Jerman ) di dalam Masjid Umawi adalah makam kosong.

Swlepas kewafatan Salahuddin , Dinasti Ayubiah berpecah kepada dua iaitu Dinasti Ayubiah Nesir dan Dinasti Ayubiah Damsyik ( Syria ). Berikut ini adalah senarai nama Siltan yang memerintah Dinasti Ayubiah Mesir dan Syria.

BACA LAGI

1. AL AQSA DALAM KENANGAN,
     SILA KLIK DI SINI
2. PEMBUKAAN BAITUL MUQADDIS,
    SILA KLIK DI SINI
3. PERANG SALIB BAHAGIAN PERTAMA
,   SILA KLIK DI SINI
4. PERANG SALIB BAHAGIAN KEDUA,
   SILA KLIK DI SINI

Sunday, December 21, 2014

IMAM NAWAWI


Imam Nawawi atau nama sebenatnya Muhyiddin Abu Zakaria  Yahya   bin Syirfu AnNawawi , lahir di Nawa sebuah wilayah yang terletak di Syria pada pertengahan bulan Muharam 631Hijrah.

Beliau  hidup dalam keluarga yang sangat mencintai ilmu agama. Beliau berkebolehan menghafaz AlQuran sejak kecil lagi. Pada tahun 649Hijrah ketika berusia 19 tahun, beliau telah pergi ke Damsyik untuk menuntut ilmu di sana.


Imam Nawawi lebih dikenali sebagai seorang alim rabbani, zuhud dan wara'. Masanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu, mengarang dan beribadat  di tengah malam. Justeru itu beliau telah dapat menguasai pelbagai ilmu.

Makan dan minum habya sekali sahaja dalam sehari, sekadar memelihara kesihatan badannya. Tidak memakan buah buahan kerana buah buahan di Damsyik pada ketika itu dikhuatiri mengandungi terlalu banyak unsur unsur syubhat.


Kehidupan Imam Nawawi banyak dihabiskan kepada bakti dan khidmat suci terhadap penyebaran dan perkembangan ilmu pengetahuan Islam.

Beliau pernah diusir dari Kota Damsyik oleh Sultan al Malik al Zahir atau Baibars  ( 1260M - 1277 M ) yang tidak senang akan fatwa yang dikeluarkan oleh beliau.


Menurut riwayat, apabila Sultam AlMalik AlZahir ingin mengadakan persiapan perang bagi memerangi Tentera Tartar ( Mongol ) lalu Baginda memerintahkan Imam Nawawi  mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pengambilan harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.

Imam Nawawi berterus terang tidak mahu mengeluarkan fatwa seraya berkata
"

Baginda AlMalik AlZahir sangat murka lalu memerintahkan Imam Nawawi segera keluar dari Kota Damsyik. Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya dengan tenang.Beliau telah kembali ke Nawa, kampung halamannya yang terletak di Selatan Kota Damsyik.

Para Ulamak Syam telah berusaha menjemput beliau agar kembali ke Damsyik tetapi beliau enggan dengan berkata "Saya tidak akan balik ke Damsyik selagi Sultan AlMalik AlZahir masih berkuasa".

Imam Nawawi meninggal dunia pada tanggal 24 Rejab 676 Hijrah di Nawa pada usia 45 tahun. Jenazahnya disemadikan di Nawa, bumi kelahirannya..Makamnya telah ditumbuhi sebatang pokok besar  beberapa pemeluk. Pada daun dan dahannya  dikatakan tertulis kalimah kalimah Tauhid. Bimbangkan berlakunya khurafat, dahan dahannya dipotong.

Antara kitab kitab Imam Nawawi yang terkenal adalah;
  1. Syarah Sahih Muslim
  2. Riadhus Solihin
  3. Al Azkar
  4. Al Tibyan fi Adab Hamalat AlQuran
  5. Matan Arba'in ( Hadith 40 )
  6. Al Irsyad wa al Taqrib fi Ulum al Hadith
  7. Al Aidah fi Manasik alHajj
  8. Syarah Muhazzab
  9. Al Raudhah
  10. Tahdhub al Asma' wa al Lughat
  11. Al Minhaj
BACA LAGI..  INFO MENGENAI
 AL MALIK AL ZAHIR ( BAIBARS), SILA KLIK DI SINI

Saturday, December 20, 2014

ABU UBAIDAH ALJARRAH


Beliau adalah Amir bin Abdullah bin AlJarrah, dilahirkan di Mekah dari kalangan keluarga Quraisy  yang terhormat iaitu darisuku AlHarith bin Fihr. Beliau masuk Islam selepas Abu Bakar AsSiddiq bersama Abdur Rahman bin Auf dan Arqam bin Abi Arqam.

Abu Abdullah AlJarrah adalah antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah dan merupakan seorang Muhajirin yang hadir semasa Saqifah Bani Saad. Beliau adalah  antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga telah menyertai semua peperangan bersama Rasulullah.

Dalam Perang Badar, beliau terpaksa membunuh ayahnya sendiri yang berjuang menentang Rasulullah. Hal ini dinyatakan dalam AlQuran pada Surah AlMujadalah ayat 22.

Semasa PerangUhud, Rasulullah telah terkena anak panah yang dilepaskan oleh tentera Kafir Quraisy lalu tersangkut pada rahang Baginda. Abu Ubaidah mencabut anak panah tersebut dengan menggunakan giginya sehinggakan giginya tercabut.



Pada suatu hari satu rombongan dari Bani Najran datang menemui Rasulullah dan meminta Baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar mereka agama Islam. Rasulullah berjanji akan menghantar seorang yang berani dan jujur. Orang yang dimaksudkan dengan Berani dan Jujur ini adalah  Abu Ubaidah AlJarrah.

Semasa pemilihan bagi jawatan khalifah yang pertama, Saidina Abu Bakar AsSiddiq telah menamakan beliau salah seorang daripada calun, namun  masyarakat Islam pada ketika itu telah sepakat mengangkat Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah.



Orang orang Islam dan Yahudi Madinah mengenali beliau sebagai seorang perunding dan pembuat keputusan yang terbaik di kalangan para Sahabat, seorang yang zuhud, tidak tamakkan kuasa dan harta, berperawakan tinggi, kurus, berwibawa dan amat pemalu.

Abu Ubaidah pernah dilantik oleh Saidina Umar sebagai Panglima Perang Tentera Islam bagi menggantikan Khalid bin AlWalid.Beliau telah berjaya menakluk kota kota besar seperti Damsyik, Aleppo, Hims, Antakiah sebelum mara ke Baitul Maqdis.

Atas permintaan daripada Ketua Padera Baitul Maqdis yang tidak mahu berlaku pertumpahan darah, Abu Ubaidah telah menulis surat menjemput Saidina Umar ( ketika itu menjadi khalifah kedua Islam ) datang ke Baitul Maqdis untuk menerima penyerahan kunci Kota Baitul Maqdis.



Abu Ubaidah AlJarrah meninggal dunia pada tahun 18Hijrah bersamaan tahun 640 Masihi akibat wabak Taun. Jenazah beliau telah disemadikan di Jordan. Tempat beliau telah diambil alih oleh Muaz bin Jabal.

Sunday, August 3, 2014

ALKHAWARIZMI



Nama sebenar beliau ialah Abu Jaafar Mohammad Ibnu Musa dan lebih dikenali dengan Al-Khawarizmi. Beliau juga dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad. Beliau dilahirkan pada tahun 780M = 194H di Khawarizim ( khiva) Bukhara, selatan Laut Aral, Uzbekistan.



Dalam usia muda beliau bekerja di Bayt al-Hikmah di Baghdad dan telah diberi kepercayaan untuk memimpin perpustakaan khalifah. 

Beliau telah berjasa dalam bidang falak pada zaman Khalifah al-Ma’mun ibn Harun ar Rasyid ( 813 - 833M ) pemerintah Kerajaan Bani Abbasiyah di Baghdad dan telah dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja atas sumbangan dan kajian beliau. 



Antara jasa jasa al Khawrizmi adalah

  1. Membuat penyemakan dan memperkemaskan semula ilmu astronomi pada ketika itu
  2. Membetulkan pelbagai pandangan Ptolemy. 
  3. Menghasilkan peta dunia pertama yang telah diterokai pada zaman itu. 
  4. Menghitung isipadu dan ukurlilit bumi, 
  5. mencipta alat penentu kedudukan bintang, sukatan masa dan jam matahari. 

Al-Khawarizmi juga adalah seorang ahli matematik yang agung. Beliau telah merintis algebra (arithmatic), penggunaan angka sifar dan perpuluhan, fungsi sin, cos dan tangen, ungkapan quadratik secara geometri dan trigonometri.  



Al-Khawarizmi adalah seorang tokoh yang pertama kali memperkenalkan aljabar dan hisab. Sumbangan hasil karya beliau sendiri, antaranya ialah :

1. Al-Jabr wa’l Muqabalah : beliau telah mencipta pemakaian secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi. 

2. Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah : Beliau telah mengajukan contoh-contoh persoalan matematik dan telah mengemukakan 800 buah soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yang dikemukakan oleh Neo. Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh al-Khawarizmi. 

3. Sistem Nombor : Beliau telah memperkenalkan konsep sifat dan ia penting dalam sistem nombor pada zaman sekarang. ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin iaitu De Numero Indorum.



Beliau pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.

Beliau juga merupakan seorang penulis Ensiklopedia dalam berbagai disiplin.
Diantara karangan Al-Khawarizmi ialah 

  • Kitab at-Tarikh (falak), 
  • Kitab al-Rukhmat (falak), 
  • Istkhraj Tarikh al-Yahudi (falak), 
  • Kitab Surat al-Ard (falak-geografi),
  • Hisab al-Jabr wal Muqabalah (matematik) 
  • Kitab al-Jam’a bil Hisab al-Hindi (arithmatic). 


Keperibadian al-Khawarizmi telah diakui dan beliau telah dianggap sebagai sarjana matematik yang masyhur oleh dunia Islam Barat.

Menurut Wiedmann pula berkata....
 al-Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bergeliga sains’.

AlKhawarizmi wafat pada tahun 850 M = 266H
di Baghdad.  Hasil penulisan dan karyanya telah dipelajari dan digunapakai sehingga ke hari ini.


NASYID BUAT SEORANG IBU


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

KENANGAN MANIS