Selasa, Oktober 22, 2019

MU’SAB BIN UMAIR




Mus’ab bin Umair r.a merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah lagi terhormat. 

Beliau yang dilahirkan pada tahun 585M terkenal sebagai seorang yang berperwatakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. 

Sebelum memeluk agama Islam, Mus’ab merupakan seorang Cendikiawan dan sering dijemput menghadiri mesyuarat penting bersama para pemimpin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Sufian ibn Harb.

MENYAHUT SERUAN ILAHI

Pertama kali Mus’ab berada di rumah Arqam bin Abil Arqam, beliau telah diperdengarkan dengan bacaan ayat ayat AlQuran.

Sejak dari hari itu, jiwanya yang kosong mulai terisi dan terbuka untuk menerima Islam sebagai pegangan hidup.

Berita pengislaman Mus’ab telah membangkitkan kemarahan ibunya yang bernama Khunas binti Malik.

Khunas adalah seorang wanita Quraisy yang berpengaruh, kuat pendirian dan sangat dihormati di kalangan penduduk Makkah.

Oleh yang demikian, Mus’ab telah dikurung dan diseksa oleh ibunya selama beberapa hari namun ianya sedikitpun tidak mengubah pendirian Mus’ab.

PENDIRIAN TEGAS MUSAB TERHADAP IBUNYA

Kerana sayangkan ibunya. dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya supaya memeluk Islam. 

Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. 

Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya

Mus’ab memberitahu ibunya 
Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan nyawa ibu keluar satu demi satu, namun saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali. 

Dengan jawapan itu, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Segala kesenangan dan kemewahan yang beliau miliki selama ini telah ditarik balik.

Maka tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah ﷺ dan sahabat-sahabat dalam keadaan yang sangat daif.

Untuk meneruskan kehidupan, Mus’ab telah bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. 

Ibu Mus’ab merasa amat marah, malu serta terhina di atas tindakan Mus’ab. 



Bagi mengelakkan seksaan dari keluarganya, Mus’ab telah berhijrah mengikuti Jaafar bin Abu Talib ke Habsyah.

💙💚💖💖💖💛💜

HIJRAH KE HABSYAH

 Hijrah kali Pertama 

Tahun 615M bersamaan tahun ke-5 Kenabian Rasulullah 
 10 orang lelaki dan 5 orang perempuan.

Mereka kembali semula ke Makkah setelah tiga bulan menetap di sana

 Hijrah kali Kedua 

Tahun 617M bersamaan tahun ke-7 Kenabian Rasulullah 
 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan

💙💚💖💖💖💛💜

Sekembalinya dari Habsyah, keadaan Musab telah berubah menjadi kurus kering dan berpakaian compang camping.

Mendapat tahu kepulangan Mus’ab, ibunya mengutuskan adik Mus’ab yang bernama al Rum untuk memujuknya kembali kepada menyembah berhala, namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya.

Sebaliknya, dengan izin Allah, al-Rum telah memeluk Islam tanpa pengetahuan ibunya.

HIJRAH KE MADINAH

Selepas Bai’ah (Iqrar) Aqabah pertama, Rasulullah ﷺ telah melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil Baginda ﷺ kepada penduduk Yathrib (Madinah) bagi mengajar alQuran dan Islam. 

Di sana Mus’ab r.a  tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. 

Hasil usahanya beliau berjaya mengislamkan Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. 

Kedua-duanya adalah ketua puak di Yathrib yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. 

Mus’ab ibn Umair r.a kembali ke Makkah dan memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib yang telah tersebar ke seluruh kawasan Aus dan Khazraj. 

Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru (Iqrar Aqabah kedua) serta memberi jaminan perlindungan kepada Rasulullah ﷺ.

MUS’AB SYAHID DI MEDAN UHUD

Bulan Syawal Tahun 3H bersamaan bulan Mac tahun 625 M berlaku Peperangan Uhud. 

Di dalam peerangan ini, Mus’ab telah ditugaskan memegang bendera Islam. 



Peringkat kedua peperangan telah menyaksikan kekalahan di pihak tentera Muslimin. 

Ketika tentera kafir Quraisy mengepung Rasululah ﷺ, Mus’ab tampil memberanikan dirinya sambil melaungkan kata kata
“Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Tiba tiba seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamaiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang bendera Islam.

Mus’ab menyambut bendera itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulangi laungan tadi. 

Laungan itu menyebabkan Ibn Qamaiah bertambah marah lalu menetak tangan kirinya pula. 

Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung

Akhirnya Ibn Qamaiah berjaya menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai Syuhada Uhud.

Bendera yang ada pada Musab telah berjaya direbut dan disambut oleh ar Rum.

Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazah Mus’ab.

Keadaan itu menyebabkan Rasulullah ﷺ tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya.