Selasa, Disember 24, 2019

SYITA’ DI BUMI URDUN


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SYITA’

Syita’ adalah kalimah arab yang bermaksud “Musim Sejuk”. Syita’ di bumi Urdun berlaku dari bulan Disember hingga bulan Febuari.

Di dalam alQuran terdapat satu ayat menyebut perkataan ini iaitu pada Surah Quraisy ayat 2

Adapun Urdun pula adalah sebuah negara Arab yang kini lebih dikenali sebagai negara Jordan.

Negara ini pada suatu ketika dahulu pernah menjadi saksi perjuangan dan kegigihan Nabi nabi Allah dalam menyampaikan risalah tauhid kepada umat manusia.

💖 Firman Allah 

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ  قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ   ﴿٨٤﴾ هود

Maksudnya
Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya
Surah Hud ayat 84

Madyan adalah satu daerah yang terletak dalam negara Jordan. Allah telah utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syuaib a.s.

Di sinilah tempat Nabi Musa a.s. melarikan diri daripada Fir’aun dan bertemu dengan Nabi Syuaib a.s. lalu mengahwini anak perempuannya.

Tidak jauh dari Madyan terletaknya makam Nabi Yusha’ bin Nun. Baginda adalah pengikut setia Nabi Musa yang berjaya membawa Bani Israil masuk ke bumi Palestin.

Laut Mati atau Dead Sea pasti akan mengingatkan kita kisah bagaimana kaum Sodom (kaum Nabi Lut) dibinasakan oleh Allah lantaran kemungkaran yang mereka lakukan.

Kesemuanya ini sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa Jordan pada suatu ketika dahulu pernah menjadi medan dakwah para Nabi dan rasul Allah.


BAGAIMANAKAH MUSIM SEJUK BOLEH BERLAKU

Kejadian empat musim banyak dipengaruhi dengan pergerakan matahari. Apabila matahari berada di kutub Selatan, maka negara negara yang berada di kutub Utara akan menerima sedikit pengaruh Matahari dan ini menjadikan suasana dingin dan beku ( salji ) di kawasan kawasan tersebut.

SIANG LEBIH PENDEK DARI MALAM 

Oleh kerana kedudukannya jauh dari matahari pada musim sejuk maka Jordan menerima sedikit pengaruh siang berbanding waktu malam.

Di Jordan pada musim sejuk waktu Maghribnya masuk pada jam 4.30 pm. Seandainya bulan puasa jatuh pada musim sejuk maka bermakna jam 4.30 pm dah bolehlah berbuka manakala jam 6.00 pm dah siap solat Isyak dan Tarawih sekali


Sehubungan itu, kita tidak boleh sebarangan nak guna waktu solat Malaysia ke Jordan terutama sekali pada masa musim Sejuk.

Wujudnya taqwim solat ini adalah hasil dari pemerhatian kepada pergerakan matahari setiap hari selama satu tahun.

💛💜💙💚💖💖💖💛💜💙💚

Musim sejuk merupakan musim longgokan buah buahan seperti Strawbery dan aneka jenis limau. Ianya dijual dengan harga yang cukup murah.

Daging, ayam dan ikan tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Suasana sejuk di luar sudah cukup menggantikan peti ais.

Namun begitu bil eletrik akan melambung tinggi lantaran penggunaan heater bagi memanaskan air dan ruangan rumah.

Masjid University of Jordan, Amman,
Jotdan

Gas dan minyak tanah turut digunakan sebagai alternatif lain memanaskan rumah.

KEMBARA MUSIM SEJUK DAN MUSIM PANAS

Masyarakat Arab di negeri Syam (Jordan, Syria dan Lubnan) akan ke Hijaz (spt Arab Saudi, Yaman) ketika berlakunya musim sejuk (Disember).

Sebaliknya pada musim panas (Jun) mereka yang tinggal di Hijaz akan menuju ke Syam. Hal ini Allah rakamkan dalam Surah Quraisy.

💖 Firman Allah 

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ ﴿١﴾ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ ﴿٢﴾َ قريش

Maksudnya
Kebiasaan kaum Quraisy ﴾1﴿ Kebiasaan mereka Kembara musim sejuk dan musim panas﴾2﴿
Surah Quraisy ayat 1-2

Negara negara yang diltupi salji

Sesunggunya kejadian Musim Sejuk, Musim Panas merupakan Tanda tanda Kebesaran Allah kepada hambaNya.

Allah tidak ciptakan semua ini sia sia melainkan supaya kita BERSYUKUR dan BERIMAN kepadaNya.



Selasa, Oktober 22, 2019

MU’SAB BIN UMAIR




Mus’ab bin Umair r.a merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah lagi terhormat. 

Beliau yang dilahirkan pada tahun 585M terkenal sebagai seorang yang berperwatakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. 

Sebelum memeluk agama Islam, Mus’ab merupakan seorang Cendikiawan dan sering dijemput menghadiri mesyuarat penting bersama para pemimpin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Sufian ibn Harb.

MENYAHUT SERUAN ILAHI

Pertama kali Mus’ab berada di rumah Arqam bin Abil Arqam, beliau telah diperdengarkan dengan bacaan ayat ayat AlQuran.

Sejak dari hari itu, jiwanya yang kosong mulai terisi dan terbuka untuk menerima Islam sebagai pegangan hidup.

Berita pengislaman Mus’ab telah membangkitkan kemarahan ibunya yang bernama Khunas binti Malik.

Khunas adalah seorang wanita Quraisy yang berpengaruh, kuat pendirian dan sangat dihormati di kalangan penduduk Makkah.

Oleh yang demikian, Mus’ab telah dikurung dan diseksa oleh ibunya selama beberapa hari namun ianya sedikitpun tidak mengubah pendirian Mus’ab.

PENDIRIAN TEGAS MUSAB TERHADAP IBUNYA

Kerana sayangkan ibunya. dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya supaya memeluk Islam. 

Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. 

Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya

Mus’ab memberitahu ibunya 
Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan nyawa ibu keluar satu demi satu, namun saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali. 

Dengan jawapan itu, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Segala kesenangan dan kemewahan yang beliau miliki selama ini telah ditarik balik.

Maka tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah ﷺ dan sahabat-sahabat dalam keadaan yang sangat daif.

Untuk meneruskan kehidupan, Mus’ab telah bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. 

Ibu Mus’ab merasa amat marah, malu serta terhina di atas tindakan Mus’ab. 



Bagi mengelakkan seksaan dari keluarganya, Mus’ab telah berhijrah mengikuti Jaafar bin Abu Talib ke Habsyah.

💙💚💖💖💖💛💜

HIJRAH KE HABSYAH

 Hijrah kali Pertama 

Tahun 615M bersamaan tahun ke-5 Kenabian Rasulullah 
 10 orang lelaki dan 5 orang perempuan.

Mereka kembali semula ke Makkah setelah tiga bulan menetap di sana

 Hijrah kali Kedua 

Tahun 617M bersamaan tahun ke-7 Kenabian Rasulullah 
 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan

💙💚💖💖💖💛💜

Sekembalinya dari Habsyah, keadaan Musab telah berubah menjadi kurus kering dan berpakaian compang camping.

Mendapat tahu kepulangan Mus’ab, ibunya mengutuskan adik Mus’ab yang bernama al Rum untuk memujuknya kembali kepada menyembah berhala, namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya.

Sebaliknya, dengan izin Allah, al-Rum telah memeluk Islam tanpa pengetahuan ibunya.

HIJRAH KE MADINAH

Selepas Bai’ah (Iqrar) Aqabah pertama, Rasulullah ﷺ telah melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil Baginda ﷺ kepada penduduk Yathrib (Madinah) bagi mengajar alQuran dan Islam. 

Di sana Mus’ab r.a  tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. 

Hasil usahanya beliau berjaya mengislamkan Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. 

Kedua-duanya adalah ketua puak di Yathrib yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. 

Mus’ab ibn Umair r.a kembali ke Makkah dan memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib yang telah tersebar ke seluruh kawasan Aus dan Khazraj. 

Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru (Iqrar Aqabah kedua) serta memberi jaminan perlindungan kepada Rasulullah ﷺ.

MUS’AB SYAHID DI MEDAN UHUD

Bulan Syawal Tahun 3H bersamaan bulan Mac tahun 625 M berlaku Peperangan Uhud. 

Di dalam peerangan ini, Mus’ab telah ditugaskan memegang bendera Islam. 



Peringkat kedua peperangan telah menyaksikan kekalahan di pihak tentera Muslimin. 

Ketika tentera kafir Quraisy mengepung Rasululah ﷺ, Mus’ab tampil memberanikan dirinya sambil melaungkan kata kata
“Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Tiba tiba seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamaiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang bendera Islam.

Mus’ab menyambut bendera itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulangi laungan tadi. 

Laungan itu menyebabkan Ibn Qamaiah bertambah marah lalu menetak tangan kirinya pula. 

Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung

Akhirnya Ibn Qamaiah berjaya menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai Syuhada Uhud.

Bendera yang ada pada Musab telah berjaya direbut dan disambut oleh ar Rum.

Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazah Mus’ab.

Keadaan itu menyebabkan Rasulullah ﷺ tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya.


Selasa, September 24, 2019

JURAIJ


Juraij adalah seorang pemuda Bani Israil yang kuat beribadat. Seluruh masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.

Untuk menghindarkan dirinya daripada gangguan, Juraij telah membina sebuah pondok kecil yang terletak jauh di atas sebuah bukit.

Pada suatu hari ibunya datang ke pondok Juraij lalu memanggil “ Juraij, Juraij”.

Ketika itu Juraij sedang solat maka ia pun berkata dalam hatinya: 
Ya Tuhanku, apakah aku perlu penuhi panggilan ibuku atau kuteruskan solatku
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan solatnya sahaja.

Ibunya merasa amat kecewa dan pulang ke rumah. Pada keesokan harinya ibunya datang lagi ke tempat Juraij beribadat, namun kedatangannya disambut dengan penuh kekecewaan.

Masuk hari ketiga, Juraij masih mengutamakan solat daripada menyahut seruan ibu yang amat merinduinya.

Terlalu kecewa dengan sikap Juraij ini, lalu ibunya berdoa kepada Allah





Doa ibu Juraij dimakbulkan Allah. Allah datangkan seorang pelacur yang sebelum ini telah berjaya menggoda ramai lelaki.

Dengan penuh angkuh wanita itu telah berkata
Aku tidak akan balik ke sini selagi aku tidak dapat menggoda Juraij”
Wanita itu pergi ke tempat peribadatan Juraij dan cuba menggodanya dengan menanggalkan sehelai demi sehelai pakaiannya.

Namun ianya sedikitpun tidak memberi kesan kepada Juraij malah Juraij dengan dengan penuh kusyuk tetap meneruskan solatnya sehinggalah wanita tersebut beredar.

Teringatkan akan kata-katanya itu, wanita tersebut berasa malu untuk kembali ke rumahnya.

Tidak jauh dari pondok Juraij, terdapat sebuah pondok milik seorang pengembala lembu.

Maka pelacur tersebut telah mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di pondok itu bersama Si pengembala.

Mereka telah bersekedudukan sehingga melahirkan anak.

JURAIJ DIBAWA KE ISTANA

Di hadapan Raja, wanita tersebut mendakwa bahawa bayi yang ada bersamanya itu adalah anak hasil hubungan zina dia dengan Juraij.

Mendengar akan kata-kata wanita ini maka Raja memerintahkan Juraij di bawa ke istana dan pondok ibadatnya dirobohkan.

Dalam perjalanan menuju ke istana,  Juraij telah diperlihatkan dengan wajah wajah pelacur.

Juraij merasa hairan dan berkata: Ada apa ini? Mereka menjawab
Engkau telah berzina dengan wanita ini sehingga melahirkan anak

Sebelum dijatuhkan hukuman Juraij meminta kebenaran dari mereka dua perkara iaitu diizinkannya
  • Mengambil wudhuk dan 
  • Menunaikan solat dua rakaat.

Setelah selesai mengerjakan solat, Juraij mendekati bayi tersebut lalu menekan perutnya dan berkata
Wahai bayi, siapa ayahmu?

Bayi yang baru lahir itu menjawab:
Ayahku si Polan, seorang pengembala

Kesemua mereka yang ada di situ tercengang, lalu mencium tangan Juraij, memeluk tubuhnya dan meminta maaf kepadanya sambil berkata
Biarlah tempat ibadatanmu ini kami bina semula dan akan kami buat dari bahan emas.
Juraij menoak seraya berkata:
Tidak, binalah semula dari tanah. 
Mereka pun membangunnya semula dari tanah.

Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah ﷺ



💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜
PENGAJARAN
DARIPADA KISAH INI
💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Antara solat sunat dan ibu, ibu mempunyai kepentingan yang sangat tinggi di sisi Allah.

Doa ibu tiada hijab sekalipun ia mendoakan sesuatu yang buruk kepada anak anaknya.

Oleh yang demikian, maka berhati-hatilah dengan setiap perbuatan dan tutur kata kita terhadap mereka.

والله أعلم

💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Rujukan Hadith



💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Khamis, Jun 27, 2019

ABU AYYUB AL ANSORI


Abu Ayyub al-Ansori r.a atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib telah dilahirkan di Madinah pada tahun 587M.

Beliau berasal dari kaum Ansor Bani An-Najjar adalah antara sahabat Nabi yang dikurniakan keberkatan umur yang panjang selain daripada Anas bin Malik r.a.

PENGHIJRAHAN RASULULLAH S.A.W KE MADINAH

Sebelum tiba di Madinah,  Rasulullah telah berhenti dan menetap beberapa hari di Quba´  iaitu satu kawasan yang terletak di pinggir Madinah.

Di sana Baginda telah membina sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba´ .

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. 

Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan mengharapkan agar Baginda sudi singgah dan bermalam di rumahnya.

Mereka bersilih ganti menghalang perjalanan unta yang membawa Nabi maka Nabi pun bersabda:

iarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan

Unta Nabi terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansori r.a.


Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah. 

Beliau menyambut kedatangan Baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w masuk ke rumahnya.





Abu Ayyub telah mengosongkan semua ruangan di tingkat atas rumahnya supaya Rasulullah boleh tinggal dengan selesa. 

Namun Rasulullah menolaknya dengan baik dan lebih suka tinggal di tingkat bawah bagi memudahkan para sahabat keluar masuk berjumpa dengan Baginda.

Rasulullah menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sementara menunggu Masjid dan rumah Baginda siap dibina.

Hubungan Abu Ayyub dengan Rasulullah sangat akrab. Abu Ayyub amat mengasihi Rasulullah begitu juga dengan Rasulullah amat mencintai Abu Ayyub.

KEPERIBADIAN ABU AYYUB AL ANSORI

Abu Ayyub al Ansori adalah seorang yang berhati lembut, sangat pemurah dan suka memberi makan kepada orang lain. 

Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. 

Beliau menyertai kesemua peperangan sejak dari zaman Rasulullah hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian, pemerintah dan pengasas Kerajaan Bania Umayyah.

💛💖💖💖💚💙
Sabda Rasulullah
💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙


💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙

Kempen peperangan terakhir Abu Ayyub ialah dalam peperangan ke atas Constantunople.  Ketika itu Abu Ayyub berumur sekitar 87 tahun.

Abu Ayyub menghembuskan nafas yang terakhir di medan peperangan pada tahun 674M dengan penuh kemuliaan sebagai seorang pahlawan yang terbilang.

Beliau telah dikebumikan di luar tembok kota Constantinople sebagai mana pernah diisyaratkan oleh Rasulullah.

PENEMUAN MAKAM ABU AYYUB AL ANSORI   

Kekentalan pasukan pertahanan Tentera Byzantine akhirnya berjaya ditundukkan.

Pada hari Selasa 29 Mac 1453 iaitu selepas 779 tahun kewafatan Abu Ayyub, Sultan Muhammad Al Fatih berjaya menawan kota ini setelah kota ini dikepung dan dibedil selama 53 hari.


Cerita mengenai makam Abu Ayyub di luar tembok kota Constantinople telah mendapat perhatian Sultan Muhammad Al Fatih.

Beliau telah mendapatkan pandangan dari gurunya iaitu Sheikh Agha Shamsuddin yang memiliki karomah dan keberkatan doa.

Setelah bertawajjuh kepada Allah ditempat yang dimaksudkan, Sheikh Agha Shamsuddin memberi isyarat agar menggali sedalam dua hasta pada bahagian kepala nescaya akan timbullah sebatang batu nesan yang ditulis dalam bahasa Ibrani.

Tentera Sultan Muhammad al Fatih terus bergegas menggali tempat yang ditunjuk oleh Sheikh Agha Samsuddin.

Beberapa minit kemudian, nampak dengan jelas sebatang batu nisan bertulisan Ibrani.

Sultan Muhammad Al Fatih mengarahkan agar dibina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Abu Ayyub Al Ansori di kawasan ini.

VIDEO MAKAM ABU AYYUB AL ANSORI


💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙