Selasa, April 21, 2020

ABDULLAH IBN SALAM



Abdullah bin Salam atau nama asalnya Husain ibn Salam ibn Harith merupakan seorang pendeta agama Yahudi dari Bani Qainuqa’ dan Sahabat Rasulullah ﷺ dari kalangan Ahli Kitab. 

Abdullah bin Salam yang dikenali dengan panggilan Abu Yusuf sangat dihormati oleh orang orang Yahudi kerana beliau mempunyai hubungan geneologi dengan Nabi Yusuf as.

Sebelum memeluk Islam, beliau banyak menghabiskan masa beliau dengan membaca dan mengkaji isi kandungan kitab Taurat.

Setiap kali beliau membaca kisah Rasulullah ﷺ, Beliau pasti akan meneliti sifat sifat Baginda ﷺ dengan penuh minat dan berdoa dipanjangkan usia agar dapat bertemu Rasulullah.

BERTEMU DENGAN RASULULLAH

Sebagai mana yang dikhabarkan di dalam Taurat, berita hijrahnya Nabi ﷺ ke Yathrib (Madinah) menjadi kenyataan dan telah tersebar luas di kalangan penduduk Madinah.

Sejurus mendengar berita ini, Beliau segera mendapatkan Nabi ﷺ yang ketika itu berada di perkampungan Bani Najjar.

Perkara pertama yang beliau dengar daripada lidah Baginda ﷺ ialah,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Maksudnya
Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sediakanlah makanan dan solat pada malam hari dalam keadaan orang ramai tidur. Kalian akan masuk syurga dengan selamat.

Sambil mendengar perkataan-perkataan Rasulullah ﷺ, Beliau merenung dalam dalam wajah Baginda, lalu berkata

والله إن هذا الوجه وجه صادق ليس بوجه كذاب

Maksudnya
Demi Allah! Sesungguhnya wajah ini (Baginda ﷺ) adalah wajah orang yang bersikap jujur bukannya wajah pendusta.

Dengan kata-kata Rasulullah itu, Abdullah bin Salam bertambah yakin serta bersemangat ingin mendekati Baginda ﷺ dan melafazkan kalimah syahadah.

MENDAPAT NAMA BARU

Tatkala mendengarkan ucapan syahadah itu, Baginda ﷺ terus berpaling ke arah Abdullah bin Salam yang berada di celah celah lautan manusia.

Lalu Baginda ﷺ bertanyakan namanya. Beliau mengatakan  “Husain bin Salam”

Lantas Baginda ﷺ menjawab: Tidak, bahkan nama Engkau “Abdullah ibn Salam”

Abdullah bin Salam amat menyukai nama yang diberikan oleh Rasulullah dan tidak akan menggunakan nama lain selain daripada nama ini.


DICACI OLEH BANGSA SENDIRI

Suatu hari ketika Rasulullah ﷺ berdakwah kepada pembesar Yahudi, Abdullah bin Salam duduk bersembunyi di sebalik tabir di belakang Baginda. 

Baginda ﷺ bertanya kepada pembesar Yahudi mengenai Husain bin Salam? 

Mereka bersungguh-sungguh memuji Abdullah bin Salam dengan berkata

خَيْرُنَا وَابْنُ خَيْرِنَا وَسَيِّدُنَا وَابْنُ سَيِّدِنَا

Maksudnya
Dia adalah orang yang baik di kalangan kami, datang dari salasilah generasi yang baik di kalangan kami, dia juga seorang pemimpin di kalangan kami, datang dari generasi yang memimpin kami.”

Baginda ﷺ bertanya lagi
Apa pandangan kalian kalau Husin memeluk Islam? 

Mereka tidak mempercayainya dan menolak kemungkinan itu
dengan berkata:

أَعَاذَهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya
Semoga Allah melindunginya (Abdullah bin Salam) dari semua itu.”

Kemudian Abdullah bin Salam pun keluar dari persembunyian lalu berkata
Sesungguhnya aku bersaksi bahawa Muhammad ﷺ adalah rasul Allah. Dan Aku menyeru kalian beriman dengannya."

Mendengarkan kata kata ini, berubah muka pembesar Yahudi.
Segala kata pujian tersebut telah berubah dalam sekelip mata sahaja.

Abdullah bin Salam telah diherdik dan dimaki hamun tidak henti henti sehinggalah beliau dan Rasulullah ﷺ berlalu pergi meninggalkan mereka.


KEWAFATAN ABDULLAH BIN SALAM

Abdullah bin Salam wafat pada tahun 43H {664M) di Madinah, iaitu semasa pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan ra.

Ketika hidupnya, Abdullah bin Salam sering memberi nasihat kepada kaum Muslimin agar mereka tidak jatuh ke lembah kebinasaan seperti mana yang pernah terjadi kepada kaum Yahudi.

💜💛💖💖💖💚💙
Rujukan

  1. Pendeta Yahudi tunggu kemunculan Nabi
  2. Kisah Abdullah bin Salam, Sahabat Nabi Yang Dikucilkan Bangsa Sendiri
(Sila klik pautan)
💜💛💖💖💖💚💙

Selasa, Februari 18, 2020

BAIBARS


Baibars atau al Malik Al Zahir Rukn al Din al Bunduqdari (abu Futuh) telah dilahirkan di Crimea pada tahin 1223M.

Beliau asalnya adalah hamba tawanan perang Mongol dari suku Kipchak, Turki dan pernah berkhidmat menjadi pengawal Sultan As Salih Ayyub iaitu pemerintah Kerajaan Mamluk Dinasti Ayyubiah (1240-1249).

Baibars telah dilantik menjadi Komander Mamluk Dinasti Bahri (Mesir) pada tahun 1250 setelah berjaya mengalahkan Raja Louis IX dari Perancis dalam Perang Salib Ketujuh (1248-1254).


Di bawah pemerintahan Sultan Saifuddin Muzaffar Al Qutuz (1259- 1260), beliau telah memimpin barisan hadapan tentera Mesir di Pertempuran Ain Jalut menentang tentera Mongol pada tahun 1260.

Baibars kemudiannya menggantikan Quttuz yang mati dibunuh pada 1260.

Tindakan pertama Baibars adalah
  • Mengambil alih tampuk pemerintahan Syria dari Dinasti Mamluk Ayubiah dan 
  • Menubuhkan Dinasti Mamluk Bahriah yang meliputi Mesir dan Syria.

Dengan penyatuan ini maka

  • berakhirlah kerajaan Mamluk Dinasti Ayubiyah yang telah diasaskan oleh Sultan Salahuddin al Ayubbi sejak tahun 1174.
  • kebangkitan Mesir dan Syria dalam menangkis ancaman Tentera Salib dan Mongol. 





PENGUASAAN KE ATAS NEGERI NEGERI SALIB

Pada tahun 1266, Baibars menakluk negara Kristian Cilician Armenia di bawah pemerintahan Raja Hethum 1 yang tunduk kepada Empayar Mongol.

Dua tahun kemudian, Baibars telah berjaya menawan dan memusnah Kota Antioch dan penduduk kota Antioch telah diseksa dan dibunuh dengan kejamnya.

Pemerintah Antioch, Putera Behemund IV yang terselamat dari serangan Baibars telah kehilangan kesemua wilayahnya kecuali Tripoli.

Kejatuhan Antioch dan pengepungan ke atas Tripoli hampir hampir mencetuskan Perang Salib kesembilan.


Mei 1271, Raja Edward I dari England dengan satu bala tentera yang besar telah tiba di Acre dan cuba bergabung dengan tentera Mongol bagi mendapatkan semula Antioch dari Baibars,

Dengan ini maka pengepungan ke atas Tripoli terpaksa dihentikan dan satu gencatan senjata telah diadakan antara Baibars dengan Raja Edward.


KEMATIAN BAIBARS

Baibars meninggal dunia di Damsyik pada 1 Jun 1277 akibat terminum racun dan beliau telah dikebumikan di Perpustakaan Zahiriyah, Damsyik. 

Tempat beliau telah diambil alih oleh putera beliau bernama Al Said Nasiruddin Barakah Khan (1277-1279).


Meskipun dunia Islam menganggap beliau sebagai wira negara selama beberapa kurun, namun Baibars amat dibenci oleh dunia Kristian kerana tindakannya memusnahkan tapak tapak suci Kristian, menghalau dan melakukan pembunuhan beramai ramai ke atas penduduk Kristian.