Jumaat, Januari 01, 2010

IMAM MALIK BIN ANAS


Beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak dekat Kota Himyar jajahan Yaman
Namanya beliau ialah Malik bin Anas bin Abu Amar Al-Asbahi Berasal daripada keturunan Arab yang terhormat dan dimuliakan oleh masyarakat

Datuknya sendiri adalah seorang perawi dan penghafal hadith yang terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadith daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar, ‘Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith.

Imam Malik rahimahullah mempunyai kecerdasan akal fikiran yang tinggi. Beliau hafaz Al-Quran ketika usianya masih muda. Beliau juga dapat mengingati 29 buah hadis daripada 30 buah hadith yang disampaikan oleh gurunya. Imam Malik juga merupakan pengasas kepada Mazhab Maliki yang berkembang di Morocco, Algeria, Libya dan Palestin

Imam Malik sangat berhati-hati dalam menyelidik sanad dan perawi (periwayat) hadis untuk memastikan kesahihannya. Imam Malik telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk menganalisa dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada gurunya. Daripada 100,000 buah hadis yang dihafaznya hanya 5,000 buah hadis saja yang diterima sebagai hadis Rasulullah s.a.w. yang sah.

Hadis-hadis tersebut disusun dalam sebuah kitab yang diberi nama "Al-Muattok". yang menjadi bahan rujukan kepada seluruh umat Islam sehinggakan Imam as-Syafi‘e pernah berkata: “Tidak wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.”

Pada tahun 147H/764M Imam Malik pernah dihukum kerana mengeluarkan fatwa bahawa hukum thalaq yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasiah sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasiah di bawah pimpinan Abu Jaafar al-Mansur ( khalifah kedua Bani Abbasiah) telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh thalaq ke atas isterinya.

Fatwa ini dibuat kerana ketika itu telah berlakunya gerakan menentang khalifah oleh Muhammad al-Nafs al-Zakiyyah iaitu seorang pemimpin dari Bani Hasyim yang dijanjikan oleh Assafah ( pengasas Kerajaan Bani Abbasiah ) jawatan khalifah selepas kejatuhan Kerajaan Bani Umawiyah.

Keengganan Imam Malik menarik balik fatwanya menyebabkan beliau ditangkap dan dipukul oleh Jaafar bin Sulaiman Al-Hasym ( gabenor Kota Madinah ketika itu ) sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja terkulai di tepi badannya.

Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awwal, tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun (Hijriah). Di antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abdarrahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).


Tiada ulasan: