Selasa, April 21, 2020

ABDULLAH IBN SALAM



Abdullah bin Salam atau nama asalnya Husain ibn Salam ibn Harith merupakan seorang pendeta agama Yahudi dari Bani Qainuqa’ dan Sahabat Rasulullah ﷺ dari kalangan Ahli Kitab. 

Abdullah bin Salam yang dikenali dengan panggilan Abu Yusuf sangat dihormati oleh orang orang Yahudi kerana beliau mempunyai hubungan geneologi dengan Nabi Yusuf as.

Sebelum memeluk Islam, beliau banyak menghabiskan masa beliau dengan membaca dan mengkaji isi kandungan kitab Taurat.

Setiap kali beliau membaca kisah Rasulullah ﷺ, Beliau pasti akan meneliti sifat sifat Baginda ﷺ dengan penuh minat dan berdoa dipanjangkan usia agar dapat bertemu Rasulullah.

BERTEMU DENGAN RASULULLAH

Sebagai mana yang dikhabarkan di dalam Taurat, berita hijrahnya Nabi ﷺ ke Yathrib (Madinah) menjadi kenyataan dan telah tersebar luas di kalangan penduduk Madinah.

Sejurus mendengar berita ini, Beliau segera mendapatkan Nabi ﷺ yang ketika itu berada di perkampungan Bani Najjar.

Perkara pertama yang beliau dengar daripada lidah Baginda ﷺ ialah,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Maksudnya
Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sediakanlah makanan dan solat pada malam hari dalam keadaan orang ramai tidur. Kalian akan masuk syurga dengan selamat.

Sambil mendengar perkataan-perkataan Rasulullah ﷺ, Beliau merenung dalam dalam wajah Baginda, lalu berkata

والله إن هذا الوجه وجه صادق ليس بوجه كذاب

Maksudnya
Demi Allah! Sesungguhnya wajah ini (Baginda ﷺ) adalah wajah orang yang bersikap jujur bukannya wajah pendusta.

Dengan kata-kata Rasulullah itu, Abdullah bin Salam bertambah yakin serta bersemangat ingin mendekati Baginda ﷺ dan melafazkan kalimah syahadah.

MENDAPAT NAMA BARU

Tatkala mendengarkan ucapan syahadah itu, Baginda ﷺ terus berpaling ke arah Abdullah bin Salam yang berada di celah celah lautan manusia.

Lalu Baginda ﷺ bertanyakan namanya. Beliau mengatakan  “Husain bin Salam”

Lantas Baginda ﷺ menjawab: Tidak, bahkan nama Engkau “Abdullah ibn Salam”

Abdullah bin Salam amat menyukai nama yang diberikan oleh Rasulullah dan tidak akan menggunakan nama lain selain daripada nama ini.


DICACI OLEH BANGSA SENDIRI

Suatu hari ketika Rasulullah ﷺ berdakwah kepada pembesar Yahudi, Abdullah bin Salam duduk bersembunyi di sebalik tabir di belakang Baginda. 

Baginda ﷺ bertanya kepada pembesar Yahudi mengenai Husain bin Salam? 

Mereka bersungguh-sungguh memuji Abdullah bin Salam dengan berkata

خَيْرُنَا وَابْنُ خَيْرِنَا وَسَيِّدُنَا وَابْنُ سَيِّدِنَا

Maksudnya
Dia adalah orang yang baik di kalangan kami, datang dari salasilah generasi yang baik di kalangan kami, dia juga seorang pemimpin di kalangan kami, datang dari generasi yang memimpin kami.”

Baginda ﷺ bertanya lagi
Apa pandangan kalian kalau Husin memeluk Islam? 

Mereka tidak mempercayainya dan menolak kemungkinan itu
dengan berkata:

أَعَاذَهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya
Semoga Allah melindunginya (Abdullah bin Salam) dari semua itu.”

Kemudian Abdullah bin Salam pun keluar dari persembunyian lalu berkata
Sesungguhnya aku bersaksi bahawa Muhammad ﷺ adalah rasul Allah. Dan Aku menyeru kalian beriman dengannya."

Mendengarkan kata kata ini, berubah muka pembesar Yahudi.
Segala kata pujian tersebut telah berubah dalam sekelip mata sahaja.

Abdullah bin Salam telah diherdik dan dimaki hamun tidak henti henti sehinggalah beliau dan Rasulullah ﷺ berlalu pergi meninggalkan mereka.


KEWAFATAN ABDULLAH BIN SALAM

Abdullah bin Salam wafat pada tahun 43H {664M) di Madinah, iaitu semasa pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan ra.

Ketika hidupnya, Abdullah bin Salam sering memberi nasihat kepada kaum Muslimin agar mereka tidak jatuh ke lembah kebinasaan seperti mana yang pernah terjadi kepada kaum Yahudi.

💜💛💖💖💖💚💙
Rujukan

  1. Pendeta Yahudi tunggu kemunculan Nabi
  2. Kisah Abdullah bin Salam, Sahabat Nabi Yang Dikucilkan Bangsa Sendiri
(Sila klik pautan)
💜💛💖💖💖💚💙

Selasa, Februari 18, 2020

BAIBARS


Baibars atau al Malik Al Zahir Rukn al Din al Bunduqdari (abu Futuh) telah dilahirkan di Crimea pada tahin 1223M.

Beliau asalnya adalah hamba tawanan perang Mongol dari suku Kipchak, Turki dan pernah berkhidmat menjadi pengawal Sultan As Salih Ayyub iaitu pemerintah Kerajaan Mamluk Dinasti Ayyubiah (1240-1249).

Baibars telah dilantik menjadi Komander Mamluk Dinasti Bahri (Mesir) pada tahun 1250 setelah berjaya mengalahkan Raja Louis IX dari Perancis dalam Perang Salib Ketujuh (1248-1254).


Di bawah pemerintahan Sultan Saifuddin Muzaffar Al Qutuz (1259- 1260), beliau telah memimpin barisan hadapan tentera Mesir di Pertempuran Ain Jalut menentang tentera Mongol pada tahun 1260.

Baibars kemudiannya menggantikan Quttuz yang mati dibunuh pada 1260.

Tindakan pertama Baibars adalah
  • Mengambil alih tampuk pemerintahan Syria dari Dinasti Mamluk Ayubiah dan 
  • Menubuhkan Dinasti Mamluk Bahriah yang meliputi Mesir dan Syria.

Dengan penyatuan ini maka

  • berakhirlah kerajaan Mamluk Dinasti Ayubiyah yang telah diasaskan oleh Sultan Salahuddin al Ayubbi sejak tahun 1174.
  • kebangkitan Mesir dan Syria dalam menangkis ancaman Tentera Salib dan Mongol. 





PENGUASAAN KE ATAS NEGERI NEGERI SALIB

Pada tahun 1266, Baibars menakluk negara Kristian Cilician Armenia di bawah pemerintahan Raja Hethum 1 yang tunduk kepada Empayar Mongol.

Dua tahun kemudian, Baibars telah berjaya menawan dan memusnah Kota Antioch dan penduduk kota Antioch telah diseksa dan dibunuh dengan kejamnya.

Pemerintah Antioch, Putera Behemund IV yang terselamat dari serangan Baibars telah kehilangan kesemua wilayahnya kecuali Tripoli.

Kejatuhan Antioch dan pengepungan ke atas Tripoli hampir hampir mencetuskan Perang Salib kesembilan.


Mei 1271, Raja Edward I dari England dengan satu bala tentera yang besar telah tiba di Acre dan cuba bergabung dengan tentera Mongol bagi mendapatkan semula Antioch dari Baibars,

Dengan ini maka pengepungan ke atas Tripoli terpaksa dihentikan dan satu gencatan senjata telah diadakan antara Baibars dengan Raja Edward.


KEMATIAN BAIBARS

Baibars meninggal dunia di Damsyik pada 1 Jun 1277 akibat terminum racun dan beliau telah dikebumikan di Perpustakaan Zahiriyah, Damsyik. 

Tempat beliau telah diambil alih oleh putera beliau bernama Al Said Nasiruddin Barakah Khan (1277-1279).


Meskipun dunia Islam menganggap beliau sebagai wira negara selama beberapa kurun, namun Baibars amat dibenci oleh dunia Kristian kerana tindakannya memusnahkan tapak tapak suci Kristian, menghalau dan melakukan pembunuhan beramai ramai ke atas penduduk Kristian. 

Selasa, Disember 24, 2019

SYITA’ DI BUMI URDUN


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SYITA’

Syita’ adalah kalimah arab yang bermaksud “Musim Sejuk”. Syita’ di bumi Urdun berlaku dari bulan Disember hingga bulan Febuari.

Di dalam alQuran terdapat satu ayat menyebut perkataan ini iaitu pada Surah Quraisy ayat 2

Adapun Urdun pula adalah sebuah negara Arab yang kini lebih dikenali sebagai negara Jordan.

Negara ini pada suatu ketika dahulu pernah menjadi saksi perjuangan dan kegigihan Nabi nabi Allah dalam menyampaikan risalah tauhid kepada umat manusia.

💖 Firman Allah 

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ  قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ   ﴿٨٤﴾ هود

Maksudnya
Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya
Surah Hud ayat 84

Madyan adalah satu daerah yang terletak dalam negara Jordan. Allah telah utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syuaib a.s.

Di sinilah tempat Nabi Musa a.s. melarikan diri daripada Fir’aun dan bertemu dengan Nabi Syuaib a.s. lalu mengahwini anak perempuannya.

Tidak jauh dari Madyan terletaknya makam Nabi Yusha’ bin Nun. Baginda adalah pengikut setia Nabi Musa yang berjaya membawa Bani Israil masuk ke bumi Palestin.

Laut Mati atau Dead Sea pasti akan mengingatkan kita kisah bagaimana kaum Sodom (kaum Nabi Lut) dibinasakan oleh Allah lantaran kemungkaran yang mereka lakukan.

Kesemuanya ini sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa Jordan pada suatu ketika dahulu pernah menjadi medan dakwah para Nabi dan rasul Allah.


BAGAIMANAKAH MUSIM SEJUK BOLEH BERLAKU

Kejadian empat musim banyak dipengaruhi dengan pergerakan matahari. Apabila matahari berada di kutub Selatan, maka negara negara yang berada di kutub Utara akan menerima sedikit pengaruh Matahari dan ini menjadikan suasana dingin dan beku ( salji ) di kawasan kawasan tersebut.

SIANG LEBIH PENDEK DARI MALAM 

Oleh kerana kedudukannya jauh dari matahari pada musim sejuk maka Jordan menerima sedikit pengaruh siang berbanding waktu malam.

Di Jordan pada musim sejuk waktu Maghribnya masuk pada jam 4.30 pm. Seandainya bulan puasa jatuh pada musim sejuk maka bermakna jam 4.30 pm dah bolehlah berbuka manakala jam 6.00 pm dah siap solat Isyak dan Tarawih sekali


Sehubungan itu, kita tidak boleh sebarangan nak guna waktu solat Malaysia ke Jordan terutama sekali pada masa musim Sejuk.

Wujudnya taqwim solat ini adalah hasil dari pemerhatian kepada pergerakan matahari setiap hari selama satu tahun.

💛💜💙💚💖💖💖💛💜💙💚

Musim sejuk merupakan musim longgokan buah buahan seperti Strawbery dan aneka jenis limau. Ianya dijual dengan harga yang cukup murah.

Daging, ayam dan ikan tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Suasana sejuk di luar sudah cukup menggantikan peti ais.

Namun begitu bil eletrik akan melambung tinggi lantaran penggunaan heater bagi memanaskan air dan ruangan rumah.

Masjid University of Jordan, Amman,
Jotdan

Gas dan minyak tanah turut digunakan sebagai alternatif lain memanaskan rumah.

KEMBARA MUSIM SEJUK DAN MUSIM PANAS

Masyarakat Arab di negeri Syam (Jordan, Syria dan Lubnan) akan ke Hijaz (spt Arab Saudi, Yaman) ketika berlakunya musim sejuk (Disember).

Sebaliknya pada musim panas (Jun) mereka yang tinggal di Hijaz akan menuju ke Syam. Hal ini Allah rakamkan dalam Surah Quraisy.

💖 Firman Allah 

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ ﴿١﴾ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ ﴿٢﴾َ قريش

Maksudnya
Kebiasaan kaum Quraisy ﴾1﴿ Kebiasaan mereka Kembara musim sejuk dan musim panas﴾2﴿
Surah Quraisy ayat 1-2

Negara negara yang diltupi salji

Sesunggunya kejadian Musim Sejuk, Musim Panas merupakan Tanda tanda Kebesaran Allah kepada hambaNya.

Allah tidak ciptakan semua ini sia sia melainkan supaya kita BERSYUKUR dan BERIMAN kepadaNya.



Selasa, Oktober 22, 2019

MU’SAB BIN UMAIR




Mus’ab bin Umair r.a merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah lagi terhormat. 

Beliau yang dilahirkan pada tahun 585M terkenal sebagai seorang yang berperwatakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. 

Sebelum memeluk agama Islam, Mus’ab merupakan seorang Cendikiawan dan sering dijemput menghadiri mesyuarat penting bersama para pemimpin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Sufian ibn Harb.

MENYAHUT SERUAN ILAHI

Pertama kali Mus’ab berada di rumah Arqam bin Abil Arqam, beliau telah diperdengarkan dengan bacaan ayat ayat AlQuran.

Sejak dari hari itu, jiwanya yang kosong mulai terisi dan terbuka untuk menerima Islam sebagai pegangan hidup.

Berita pengislaman Mus’ab telah membangkitkan kemarahan ibunya yang bernama Khunas binti Malik.

Khunas adalah seorang wanita Quraisy yang berpengaruh, kuat pendirian dan sangat dihormati di kalangan penduduk Makkah.

Oleh yang demikian, Mus’ab telah dikurung dan diseksa oleh ibunya selama beberapa hari namun ianya sedikitpun tidak mengubah pendirian Mus’ab.

PENDIRIAN TEGAS MUSAB TERHADAP IBUNYA

Kerana sayangkan ibunya. dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya supaya memeluk Islam. 

Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. 

Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya

Mus’ab memberitahu ibunya 
Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan nyawa ibu keluar satu demi satu, namun saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali. 

Dengan jawapan itu, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Segala kesenangan dan kemewahan yang beliau miliki selama ini telah ditarik balik.

Maka tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah ﷺ dan sahabat-sahabat dalam keadaan yang sangat daif.

Untuk meneruskan kehidupan, Mus’ab telah bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. 

Ibu Mus’ab merasa amat marah, malu serta terhina di atas tindakan Mus’ab. 



Bagi mengelakkan seksaan dari keluarganya, Mus’ab telah berhijrah mengikuti Jaafar bin Abu Talib ke Habsyah.

💙💚💖💖💖💛💜

HIJRAH KE HABSYAH

 Hijrah kali Pertama 

Tahun 615M bersamaan tahun ke-5 Kenabian Rasulullah 
 10 orang lelaki dan 5 orang perempuan.

Mereka kembali semula ke Makkah setelah tiga bulan menetap di sana

 Hijrah kali Kedua 

Tahun 617M bersamaan tahun ke-7 Kenabian Rasulullah 
 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan

💙💚💖💖💖💛💜

Sekembalinya dari Habsyah, keadaan Musab telah berubah menjadi kurus kering dan berpakaian compang camping.

Mendapat tahu kepulangan Mus’ab, ibunya mengutuskan adik Mus’ab yang bernama al Rum untuk memujuknya kembali kepada menyembah berhala, namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya.

Sebaliknya, dengan izin Allah, al-Rum telah memeluk Islam tanpa pengetahuan ibunya.

HIJRAH KE MADINAH

Selepas Bai’ah (Iqrar) Aqabah pertama, Rasulullah ﷺ telah melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil Baginda ﷺ kepada penduduk Yathrib (Madinah) bagi mengajar alQuran dan Islam. 

Di sana Mus’ab r.a  tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. 

Hasil usahanya beliau berjaya mengislamkan Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. 

Kedua-duanya adalah ketua puak di Yathrib yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. 

Mus’ab ibn Umair r.a kembali ke Makkah dan memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib yang telah tersebar ke seluruh kawasan Aus dan Khazraj. 

Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru (Iqrar Aqabah kedua) serta memberi jaminan perlindungan kepada Rasulullah ﷺ.

MUS’AB SYAHID DI MEDAN UHUD

Bulan Syawal Tahun 3H bersamaan bulan Mac tahun 625 M berlaku Peperangan Uhud. 

Di dalam peerangan ini, Mus’ab telah ditugaskan memegang bendera Islam. 



Peringkat kedua peperangan telah menyaksikan kekalahan di pihak tentera Muslimin. 

Ketika tentera kafir Quraisy mengepung Rasululah ﷺ, Mus’ab tampil memberanikan dirinya sambil melaungkan kata kata
“Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Tiba tiba seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamaiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang bendera Islam.

Mus’ab menyambut bendera itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulangi laungan tadi. 

Laungan itu menyebabkan Ibn Qamaiah bertambah marah lalu menetak tangan kirinya pula. 

Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung

Akhirnya Ibn Qamaiah berjaya menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai Syuhada Uhud.

Bendera yang ada pada Musab telah berjaya direbut dan disambut oleh ar Rum.

Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazah Mus’ab.

Keadaan itu menyebabkan Rasulullah ﷺ tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya.


Selasa, September 24, 2019

JURAIJ


Juraij adalah seorang pemuda Bani Israil yang kuat beribadat. Seluruh masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.

Untuk menghindarkan dirinya daripada gangguan, Juraij telah membina sebuah pondok kecil yang terletak jauh di atas sebuah bukit.

Pada suatu hari ibunya datang ke pondok Juraij lalu memanggil “ Juraij, Juraij”.

Ketika itu Juraij sedang solat maka ia pun berkata dalam hatinya: 
Ya Tuhanku, apakah aku perlu penuhi panggilan ibuku atau kuteruskan solatku
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan solatnya sahaja.

Ibunya merasa amat kecewa dan pulang ke rumah. Pada keesokan harinya ibunya datang lagi ke tempat Juraij beribadat, namun kedatangannya disambut dengan penuh kekecewaan.

Masuk hari ketiga, Juraij masih mengutamakan solat daripada menyahut seruan ibu yang amat merinduinya.

Terlalu kecewa dengan sikap Juraij ini, lalu ibunya berdoa kepada Allah





Doa ibu Juraij dimakbulkan Allah. Allah datangkan seorang pelacur yang sebelum ini telah berjaya menggoda ramai lelaki.

Dengan penuh angkuh wanita itu telah berkata
Aku tidak akan balik ke sini selagi aku tidak dapat menggoda Juraij”
Wanita itu pergi ke tempat peribadatan Juraij dan cuba menggodanya dengan menanggalkan sehelai demi sehelai pakaiannya.

Namun ianya sedikitpun tidak memberi kesan kepada Juraij malah Juraij dengan dengan penuh kusyuk tetap meneruskan solatnya sehinggalah wanita tersebut beredar.

Teringatkan akan kata-katanya itu, wanita tersebut berasa malu untuk kembali ke rumahnya.

Tidak jauh dari pondok Juraij, terdapat sebuah pondok milik seorang pengembala lembu.

Maka pelacur tersebut telah mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di pondok itu bersama Si pengembala.

Mereka telah bersekedudukan sehingga melahirkan anak.

JURAIJ DIBAWA KE ISTANA

Di hadapan Raja, wanita tersebut mendakwa bahawa bayi yang ada bersamanya itu adalah anak hasil hubungan zina dia dengan Juraij.

Mendengar akan kata-kata wanita ini maka Raja memerintahkan Juraij di bawa ke istana dan pondok ibadatnya dirobohkan.

Dalam perjalanan menuju ke istana,  Juraij telah diperlihatkan dengan wajah wajah pelacur.

Juraij merasa hairan dan berkata: Ada apa ini? Mereka menjawab
Engkau telah berzina dengan wanita ini sehingga melahirkan anak

Sebelum dijatuhkan hukuman Juraij meminta kebenaran dari mereka dua perkara iaitu diizinkannya
  • Mengambil wudhuk dan 
  • Menunaikan solat dua rakaat.

Setelah selesai mengerjakan solat, Juraij mendekati bayi tersebut lalu menekan perutnya dan berkata
Wahai bayi, siapa ayahmu?

Bayi yang baru lahir itu menjawab:
Ayahku si Polan, seorang pengembala

Kesemua mereka yang ada di situ tercengang, lalu mencium tangan Juraij, memeluk tubuhnya dan meminta maaf kepadanya sambil berkata
Biarlah tempat ibadatanmu ini kami bina semula dan akan kami buat dari bahan emas.
Juraij menoak seraya berkata:
Tidak, binalah semula dari tanah. 
Mereka pun membangunnya semula dari tanah.

Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah ﷺ



💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜
PENGAJARAN
DARIPADA KISAH INI
💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Antara solat sunat dan ibu, ibu mempunyai kepentingan yang sangat tinggi di sisi Allah.

Doa ibu tiada hijab sekalipun ia mendoakan sesuatu yang buruk kepada anak anaknya.

Oleh yang demikian, maka berhati-hatilah dengan setiap perbuatan dan tutur kata kita terhadap mereka.

والله أعلم

💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Rujukan Hadith



💙💚💛💜💖💖💖💙💚💛💜

Khamis, Jun 27, 2019

ABU AYYUB AL ANSORI


Abu Ayyub al-Ansori r.a atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib telah dilahirkan di Madinah pada tahun 587M.

Beliau berasal dari kaum Ansor Bani An-Najjar adalah antara sahabat Nabi yang dikurniakan keberkatan umur yang panjang selain daripada Anas bin Malik r.a.

PENGHIJRAHAN RASULULLAH S.A.W KE MADINAH

Sebelum tiba di Madinah,  Rasulullah telah berhenti dan menetap beberapa hari di Quba´  iaitu satu kawasan yang terletak di pinggir Madinah.

Di sana Baginda telah membina sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba´ .

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. 

Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan mengharapkan agar Baginda sudi singgah dan bermalam di rumahnya.

Mereka bersilih ganti menghalang perjalanan unta yang membawa Nabi maka Nabi pun bersabda:

iarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan

Unta Nabi terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansori r.a.


Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah. 

Beliau menyambut kedatangan Baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w masuk ke rumahnya.





Abu Ayyub telah mengosongkan semua ruangan di tingkat atas rumahnya supaya Rasulullah boleh tinggal dengan selesa. 

Namun Rasulullah menolaknya dengan baik dan lebih suka tinggal di tingkat bawah bagi memudahkan para sahabat keluar masuk berjumpa dengan Baginda.

Rasulullah menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sementara menunggu Masjid dan rumah Baginda siap dibina.

Hubungan Abu Ayyub dengan Rasulullah sangat akrab. Abu Ayyub amat mengasihi Rasulullah begitu juga dengan Rasulullah amat mencintai Abu Ayyub.

KEPERIBADIAN ABU AYYUB AL ANSORI

Abu Ayyub al Ansori adalah seorang yang berhati lembut, sangat pemurah dan suka memberi makan kepada orang lain. 

Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. 

Beliau menyertai kesemua peperangan sejak dari zaman Rasulullah hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian, pemerintah dan pengasas Kerajaan Bania Umayyah.

💛💖💖💖💚💙
Sabda Rasulullah
💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙


💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙

Kempen peperangan terakhir Abu Ayyub ialah dalam peperangan ke atas Constantunople.  Ketika itu Abu Ayyub berumur sekitar 87 tahun.

Abu Ayyub menghembuskan nafas yang terakhir di medan peperangan pada tahun 674M dengan penuh kemuliaan sebagai seorang pahlawan yang terbilang.

Beliau telah dikebumikan di luar tembok kota Constantinople sebagai mana pernah diisyaratkan oleh Rasulullah.

PENEMUAN MAKAM ABU AYYUB AL ANSORI   

Kekentalan pasukan pertahanan Tentera Byzantine akhirnya berjaya ditundukkan.

Pada hari Selasa 29 Mac 1453 iaitu selepas 779 tahun kewafatan Abu Ayyub, Sultan Muhammad Al Fatih berjaya menawan kota ini setelah kota ini dikepung dan dibedil selama 53 hari.


Cerita mengenai makam Abu Ayyub di luar tembok kota Constantinople telah mendapat perhatian Sultan Muhammad Al Fatih.

Beliau telah mendapatkan pandangan dari gurunya iaitu Sheikh Agha Shamsuddin yang memiliki karomah dan keberkatan doa.

Setelah bertawajjuh kepada Allah ditempat yang dimaksudkan, Sheikh Agha Shamsuddin memberi isyarat agar menggali sedalam dua hasta pada bahagian kepala nescaya akan timbullah sebatang batu nesan yang ditulis dalam bahasa Ibrani.

Tentera Sultan Muhammad al Fatih terus bergegas menggali tempat yang ditunjuk oleh Sheikh Agha Samsuddin.

Beberapa minit kemudian, nampak dengan jelas sebatang batu nisan bertulisan Ibrani.

Sultan Muhammad Al Fatih mengarahkan agar dibina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Abu Ayyub Al Ansori di kawasan ini.

VIDEO MAKAM ABU AYYUB AL ANSORI


💚💙💛💘💖💖💖💛💚💜💙

Jumaat, September 15, 2017

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH


Sultan Muhammad ll atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmet ll) dilahirkan pada 27 Rejab 835 H/30 Mac 1432 M di Kota Erdine. Baginda adalah putera kepada Sultan Murad II yang memerintah dari tahun 1421M hingga tahun 1451M.

Semasa kecil, Sultan Muhammad ll telah berjaya menghafal 30 juz AlQuran dan mempelajari ilmu matematik selain daripada ilmu hadis, feqah dan falak.

Baginda juga telah mempelajari pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Latin dan Yunani serta strategi dalam peperangan.

Sultan Muhammad II telah diberi tanggung jawab memimpin satu daerah dengan bimbingan ulamak terkemuka seperti Syeikh Samsettin ( Syamsuddin ) dan Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani.


Masjid Sultan Muhammad alFatih

Baginda telah ditabal menjadi Khalifah Uthmaniyah yang ketujuh pada 5 Muharam 855H bersamaan dengan 7 Febuari 1451M.

Meneruskan usaha menawan Constantinople adalah ajenda utama pemerintahan Baginda .

Untuk mencapai cita citanya ini, Sultan Muhamad ll mengadakan perjanjian dengan negara - negara jiran yang bermusuhan dengan Byzantine.

Selain dari itu, Sultan Muhammad II mengerahkan 250 ribu bala tenteranya mengepung kota ini dari arah darat, bukit dan Laut. Kota ini berjaya ditawan pada 20 Jamadil Awal 853H bersamaan 29 Mei 1453M.


    Kota Rumeli Hisari    

 JASA DAN KEWAFATAN SULTAN MUHAMMAD AL FATIH  

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad ll, Baginda telah membina
  1. Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di Selat Bosphorus bagi mengawal lalu lintas di selat tersebut.
  2. Masjid Sultan Muhammad II  
  3. Jami’ Abu Ayyub al-Ansari.
  4. lebih dari 300 buah masjid dan 57 buah sekolah

Beliau juga berjaya menyatukan kerajaan - kerajaan Anatolia dan wilayah - wilayah Eropah.

    Jami’ Abu Ayyub al-Ansari     

Sultan Muhammad al-Fatih wafat pada hari Khamis, 04 Rabiul Awal 886H bersamaan 03hb Mei 1481M setelah memerintah selama 31 tahun.

Tampuk pemerintahan Uthmaniyyah seterusnya telah diserahkan kepada puteranya Sultan Bayazid II ( 1481M - 1512M ).



Ahad, Ogos 13, 2017

UMMU SULAIM - SRI KANDI YANG HEBAT


Beliau adalah Rumaiso' binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Hiram bin Jundab bin 'Amir bin Ghanam bin Adie bin an-Najaar al-Ansariyah al-Khazrajiyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Sulaim رضی الله عنها

Ummu Sulaim merupakan seorang Sahabiyyah dari kabilah Ansar suku Khazraj yang memiliki wajah yang cantik, otak yang cerdas serta berakhlak mulia.

Ummu Sulaim r.a dilamar oleh Malik Ibnu Nadhar dan hasil dari pernikahan ini lahirlah seorang anak bernama Anas رضی الله عنه

 UMMU SULAIM MASUK ISALAM 

Tanpa ragu ragu, Ummu Sulaim telah menyahut seruan dakwah Rasulullah namun keislamannya ditentang keras oleh Malik bin Nadhar.

Malik bin Nadhar bertindak meninggalkan Ummu Sulaim dan anaknya setelah ia gagal mengubah akidah Ummu Sulaim yang kental bersama agama tauhid namun beliau telah mati dibunuh oleh musuhnya.

BERKAHWIN DENGAN ABU TALHAH 

Setelah kematian Malik bin Nadhar (ayah kepada Anas r.a.), Ummu Sulaim r.a telah dilamar oleh Ziyad bin Sahl an Najjari (Abu Talhah) seorang pemuda kaya lagi dihormati.

Oleh kerana Abu Talhah ketika itu masih belum masuk Islam maka Ummu Sulaim berkata kepada Abu Talhah....

Wahai Abu Talhah, orang sepertimu tidak semestinya lamarannya ditolak. Akan tetapi engkau masih kafir, sedangkan aku wanita muslimah. Aku tidak boleh berkahwin denganmu.

Ummu Sulaim menjelaskan bahawa bukan emas dan perak yang dia inginkan, akan tetapi dia inginkan keIslaman Abu Talhah.

Sekiranya engkau masuk Islam, maka itulah maharku dan Aku tidak  meminta kepadamu selain itu.

Akhirnya Abu Talhah akur dan bersetuju dengan syarat syarat tersebut.

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah, Abu Talhah segera mendapatkan Rasulullah. Tatkala melihat kedatangan Abu Talhah, Nabi bersabda,

Cahaya Islam terlihat di antara kedua mata Abu Talhah.”

Abu Talhah dan Ummu Sulaim diijab kabulkan oleh Rasulullah dan mereka telah dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abu Umair. Abu Talhah amat menyayanginya.

gambar hiasan


Pada suatu hari Abu Umair sakit kuat dan meninggal dunia. Di hari kematian Abu Umair, Abu Talhah keluar bermusafir. Ummu Sulaim yang menguruskan sendiri jenazah anaknya lalu berpesan kepada keluarganya..

Jangan ada seorangpun yang memberitahu kematian anak ini kepada Abu Talhah sehinggalah aku sendiri yang memberitahunya.


Abu Talhah pulang lalu bertanya hal keadaan puteranya. Ummu Sulaim memberitahu bahawa anaknya sedang istirehat dengan tenang sekali.

Pada malam itu Abu Talhah telah mendatangi isterinya. Menjelang subuh, Ummu Sulaim bertanya kepada Abu Talhah...

Apakah pendapatmu jika ada suatu kaum meminjamkan barang kepada kaum yang lain, lalu mereka meminta kembali barang pinjaman tersebut. Apakah kaum yang dipinjami berhak untuk tidak mengembalikan barang itu?

“Tidak,” jawab Abu Talhah maka Ummuu Sulaim pun berkata

Sesungguhnya Allah telah meminjamkanmu anak, kemudian Dia mengambilnya kembali. Oleh itu, bersabarlah dan harapkanlah pahala dari Allah.

Abu Talhah amat marah dan terus mendapatkan Rasulullah pada keesokan harinya.

Rasulullahpun berdoa

Semoga Allah memberkahi kalian berdua pada malam kalian.

Berkat dari doa ini, Ummu Sulaim hamil lagi dan selamat melahirkan seorang putera yang Rasulullah saw berikannya nama Abdullah.

Disebalik kelembutan seorang wanita, Ummu Sulaim turut garang dalam medan peperangan.

Dalam perang Hunain, dengan hanya bersenjatakan sebilah pisau, Ummu Sulaim memberitahu Rasulullah bahawa pisau ini akan merobek perut perut orang musyrik yang menghampirinya.

Demikianlah, Ummu Sulaim yang telah berjasa terhadap Islam dan kaum muslimin dalam menegakkan agama Allah di muka bumi.



Ahad, Januari 04, 2015

SALAHUDDIN AL AYUBI


Salahuddin Al Ayubi atau nama sebenarnya Salahuddin Yusuf bin Najm ad Din Al Ayyub ( 1137M - 1193M ) merupakan pengasas kepada Dinasti Ayubiah ( Ayyubid ) bangsa Kurdish di Mesir dan Syria.

Masyarakat barat pula memanggil beliau sebagai Saladin.

Beliau juga dikenali di kalangan masyarakat Kristian dan Islam sebagai seorang ketua yang mempunyai sifat belas kasihan di samping kebolehan dan ketangkasan dalam peperangan.

Salahuddin dilahirkan dalam keluarga Kurdish di Tikrit. Ayahnya Najm ad Din, seorang Gabenor Wilayah Baalbek telah menghantar belau ke Damsyik untuk menuntut ilmu.

Di sana Salahuddin tinggal di kawasan istana milik Nuruddin (  1118 - 1174 ) selama sepuluh tahun.

Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Syirkuh yang ketika itu merupakan panglima perang kepada Nuruddin.

Syirkuh sering mewakili Nuruddin dalam kempen menentang Kerajaan Fatimiyyah yang disokong oleh Kaum Frank di Mesir sekitar tahun 1160.


KERAJAAN FATIMIYAH

Sebuah kerajaan Syiah yang memerintah Tunisia, Maghribi, Mesir dan Syam. Kerajaan ini ditubuhkan oleh Abi Muhammad Ubaidullah pada 909M di Tunisia dengan menjadikan Mandia sebagai ibu negara.


Namun setelah penaklukan Mesir pada 972M, ibu kotanya telah dipindahkan ke Kaherah.




Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah dari bapa saudaranya yang terbunuh dalam pertempuran.

Baginda telah dilantik menjadi panglima perang Kerajaan Fatimiyyah pada 1169 setelah berjaya menamatkan pengaruh Kaum Frank dalam pentadbiran Kerajaan Fatimiyyah.

Ketika inilah Salahuddin mengambil tugas sukar mempertahankan Mesir dari serangan Tentera Salib di bawah Kerajaan Latin Baitul Muqaddis pimpinan Almaric I.

Di bawah Kerajaan Fatimiyyah pimpinan Khalifah Al Aidid ( 1160 - 1171 ), kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal sebagai panglima.

Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah.

❤ : wilayah yang dikuasai Salahuddin
💖 : Berjaya ditawan dari Tentera Salib
💚 : wilayah yang dikuasai Tentera Salib




Apabila Khalifah Al Aidid meninggal dunia pada September 1171, Salahuddin telah menamatkan Dinasti Fatimiyyah dan menyerahkan pemerintahan Kerajaan Fatimiyyah kepada Khalifah Al Mustadi ( 1170 - 1180 ) pemerintah Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad.

Selepas dilantik menjadi wakil kepada Nuruddin di Mesir, Beliau telah melakukan pelbagai perubahan terhadap ekonomi Mesir dan menyusun semula angkatan tentera Mesir.

Beliau juga turut mengembalikan ajaran ahli Sunnah wal Jamaah di Mesir.

SERANGAN KE ATAS  TENTERA SALIB

Pada tahun 1171 dan 1173 terdapat sedikit selisih faham antara Nuruddin dengan Salahuddin yang hampir mencetuskan peperangan.

Ketika ingin meneruskan kempen ketenteraan ke atas negara Salib,  Nuruddin telah munta bantuan Salahuddin agar mengirimkan pasukan tentera Mesir.

Menyedari akan bahaya jika Mesir ditinggalkan maka Salahuddin membatalkan niatnya menyertai Nuruddin .

Nuruddin murka lalu mengirimkan Tentera Syria untuk menyerang Salahuddin di Mesir. Namun atas nasihat Najmuddin, sengketa ini dapat ditamatkan setelah Salahuddin memohon maaf kepada Nuruddin.


Nuruddin wafat pada 15 Mei 1174. Salahauddin mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir dan Syria menggantikan Nuruddin.

Bermula dari tarikh ini maka berakhirlah Dinasti Zengi dan lahirlah sebuah kerajaan baru yang dikenali sebagai Dinasti Ayubiah.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan, Salahuddin telah mengahwini permaisuri Nuruddin. Dengan menggunakan pengaruhnya, Salahuddin berjaya menguasai Bandar Aleppo dan Mosul (yang sebelum ini merupakan kubu kuat Nuruddin) pada tahun 1176 dan 1186.

As Salih Ismail putera kepada Nuruddin yang melakukan pemberontakan terhadap Salahuddin telah berjaya dibunuh pada 1181.

November 1177, telah berlaku Pertempuran Montgisard yang menyaksikan kekalahan Salahuddin kepada gabungan tentera ....

  1. Baldwin IV dari Jerusalem, 
  2. Raynald dari Chalitton dan 
  3. Raymond III dari Kesatria Templar. 

Dua tahun kemudian ( 1179 ) Salahuddin telah menyerang salah satu kubu kuat Tentera Salib dan berjaya menumpaskan mereka.

Susulan dari kekalahan ini, Tentera Salib telah bertindak balas. Raynald dari Chatillon telah mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam. Beliau juga mengancam ingin menyerang kota Mekah dan Madinah.

Sebagai tindak balas, Salahuddin telah menyerang Kerak (sebuah kubu kuat Reynald di Selatan Jordan) pada tahun 1183 dan 1184M.

Reynald kemudian menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan menunaikan haji pada tahun 1185.


Pada 4 Julai 1187, telah berlaku Pertempuran Hattin antara tentera Islam pimpinan Salahuddin Al Ayubi menentang Gabungan Tentera Salib dibawah pimpinan Raja Guy dari Lusigman (raja Kerajaan Jerusalem yang menggantikan Baldwin IV), Raynald dari Chatillon dan Raymond III dari Tripoli (Kesatria Templar).

Pertempuran Hattin telah menyaksikan kekalahan teruk Tentera Salib. Raja Guy dan Raynald telah ditangkap.

Oleh kerana dosanya menyerang dan membunuh umat islam maka Raynald telah dihukum pancung adapun Raja Guy telah dipenjarakan selama satu tahun.

Dengan kejayaan ini maka hampir keseluruhan kota kota yang dikuasai oleh Tentera Salib telah jatuh ke tangan Tentera Islam.

Pada 2 Oktober 1187, Salahuddin telah berjaya menawan semula kota Baitul Muqaddis setelah 88 tahun berada dalam kekuasaan Tentera Salib.

Kejatuhan Baitul Muqaddis telah mencetuskan Perang Salib Ketiga (1189M - 1192M ) yang merupakan usaha raja raja Eropah mendapatkan semula Baitul Muqaddis.

Tentera Salib di bawah pimpinan  Richard I dari Englan (Richard Si hati Singa / Richard Lionheart) telah bertempur dengan Tentera Salahuddin dalam Peperangan Arsuf pada September 1171 dan berjaya merampas Acre  dari tangan Tentera Islam..




Pada September 1192, Richard I dan Salahuddin telah memuktamadkan satu perjanjian damai iaitu (Perjanjian Ramila) yang menyaksikan Baitul Muqaddis kekal dibawah penguasaan Tentera Islam dan penganut Kristian yang tidak bersenjata dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis.

 PENUTUP 

Sungguhpun ditentang hebat, masyarakat Kristian Eropah tetap mengakui Salahuddin seorang panglima perang yang hebat dan berjaya. Disebalik peristiwa penyembelihan umat Islam pada 1099  (Perang Salib Pertama), Salahuddin tetap memberikan jaminan keselamatan perjalanan dan nyawa kepada semua masyarakat Kristian dan Tentera Salib yang kalah.

Perbezaan agama tidak menjadi halangan untuk Richard Si Hati Singa dan golongan bangsawan lain untuk menghormati Salahuddin malah selepas Perjanjian Ramila Richard dan Salahuddin bertukar tukar hadiah sebagai tanda persahabatan dan saling hormat antara satu sama lain.

KEWAFATAN SALAHUDDIN AL AYUBI

Salahuddin telah wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik iaitu tidak lama selepas kepulangan Richard ke England. 

Ketika membuka peti simpanan Salahuddin, mereka dapati Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas. Salahuddin telah membelanjakan kesemua hartanya kepada rakyat rakyatnya yang miskin.


Salahuddin dokebumikan di sebuah makam yang terletak di taman sebelah luar  Masjid Umawi, Damsyik, Syria. Adapun makam batu marmar di dalam Masjid Umawi yang disumbangkan oleh Raja Wilhem II dari Jerman adalah makam KOSONG.


BACA LAGI
Sila klik pada pautan berkenaan

  1. PERANG SALIB Bhg PERTAMA
  2. PERANG SALIB Bhg KEDUA

Ahad, Disember 21, 2014

IMAM NAWAWI


Imam Nawawi atau nama sebenatnya Muhyiddin Abu Zakaria  Yahya   bin Syirfu AnNawawi , lahir di Nawa sebuah wilayah yang terletak di Syria pada pertengahan bulan Muharam 631Hijrah.

Beliau  hidup dalam keluarga yang sangat mencintai ilmu agama. Beliau berkebolehan menghafaz AlQuran sejak kecil lagi. Pada tahun 649Hijrah ketika berusia 19 tahun, beliau telah pergi ke Damsyik untuk menuntut ilmu di sana.


Imam Nawawi lebih dikenali sebagai seorang alim rabbani, zuhud dan wara'. Masanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu, mengarang dan beribadat  di tengah malam. Justeru itu beliau telah dapat menguasai pelbagai ilmu.

Makan dan minum habya sekali sahaja dalam sehari, sekadar memelihara kesihatan badannya. Tidak memakan buah buahan kerana buah buahan di Damsyik pada ketika itu dikhuatiri mengandungi terlalu banyak unsur unsur syubhat.


Kehidupan Imam Nawawi banyak dihabiskan kepada bakti dan khidmat suci terhadap penyebaran dan perkembangan ilmu pengetahuan Islam.

Beliau pernah diusir dari Kota Damsyik oleh Sultan al Malik al Zahir atau Baibars  ( 1260M - 1277 M ) yang tidak senang akan fatwa yang dikeluarkan oleh beliau.


Menurut riwayat, apabila Sultam AlMalik AlZahir ingin mengadakan persiapan perang bagi memerangi Tentera Tartar ( Mongol ) lalu Baginda memerintahkan Imam Nawawi  mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pengambilan harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.

Imam Nawawi berterus terang tidak mahu mengeluarkan fatwa seraya berkata
"

Baginda AlMalik AlZahir sangat murka lalu memerintahkan Imam Nawawi segera keluar dari Kota Damsyik. Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya dengan tenang.Beliau telah kembali ke Nawa, kampung halamannya yang terletak di Selatan Kota Damsyik.

Para Ulamak Syam telah berusaha menjemput beliau agar kembali ke Damsyik tetapi beliau enggan dengan berkata "Saya tidak akan balik ke Damsyik selagi Sultan AlMalik AlZahir masih berkuasa".

Imam Nawawi meninggal dunia pada tanggal 24 Rejab 676 Hijrah di Nawa pada usia 45 tahun. Jenazahnya disemadikan di Nawa, bumi kelahirannya..Makamnya telah ditumbuhi sebatang pokok besar  beberapa pemeluk. Pada daun dan dahannya  dikatakan tertulis kalimah kalimah Tauhid. Bimbangkan berlakunya khurafat, dahan dahannya dipotong.

Antara kitab kitab Imam Nawawi yang terkenal adalah;
  1. Syarah Sahih Muslim
  2. Riadhus Solihin
  3. Al Azkar
  4. Al Tibyan fi Adab Hamalat AlQuran
  5. Matan Arba'in ( Hadith 40 )
  6. Al Irsyad wa al Taqrib fi Ulum al Hadith
  7. Al Aidah fi Manasik alHajj
  8. Syarah Muhazzab
  9. Al Raudhah
  10. Tahdhub al Asma' wa al Lughat
  11. Al Minhaj
BACA LAGI..  INFO MENGENAI
 AL MALIK AL ZAHIR ( BAIBARS), SILA KLIK DI SINI